SIKAP sabar ketika mendidik kanak-kanak membawa pulangan yang menyeronokkan kepada si kecil dan guru.
SIKAP sabar ketika mendidik kanak-kanak membawa pulangan yang menyeronokkan kepada si kecil dan guru.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Pada mulanya, pakar industri negara dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini pernah menjadi kru kabin selama tiga tahun, namun berubah minat ke bidang pendidikan awal kanak-kanak selepas berkahwin dan memiliki cahaya mata.

Mengimbau kembali ketika mula membabitkan diri dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak, Fadzilah Abdul Rahman akui mengalami alahan teruk ketika hamil anak pertama dan kedua hingga membuatkan dia mengambil keputusan berhenti kerja di syarikat penerbangan.

“Apabila usia anak empat tahun, saya memasang niat untuk bekerja, pada masa sama memikirkan cara menjaga anak dengan baik. Selepas itu, saya dapat tawaran untuk menjadi guru tadika.

“Ketika itu, masyarakat masih memandang rendah dan menganggap guru tadika tidak mempunyai nilai. Namun, saya berasa ia pekerjaan yang sesuai untuk menjaga tiga anak dalam satu masa,” katanya.

Baginya, tidak mengapa jika dia perlu berkorban dalam memilih kerjaya yang diminati dan kurang dipandang tinggi asalkan semua anaknya dijaga sendiri.

Rezeki yang datang tidak pernah diduga dan sekali lagi dia mendapat tawaran untuk bekerja di syarikat penerbangan memegang jawatan sebagai pengurus kru kabin selepas memasuki tahun kedua menjadi guru tadika.

Namun, ada banyak halangan yang membuatkan dirinya menarik diri untuk bekerja di bidang berkenaan biarpun dia ditawarkan gaji lumayan. Baginya, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

Sekali lagi, rezeki dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak begitu kuat apabila ada rakan yang menawarkannya jawatan sebagai pengetua dan guru tadika.

“Tanpa disangka saya juga diberi kepercayaan untuk menguruskan semua operasi dan pengurusan tadika berkenaan selama dua tahun. Ia banyak mengajar saya mengenai ilmu pentadbiran dan pendidikan di bidang berkenaan.

“Pada masa sama, saya turut mengambil Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Malaya bagi menambah ilmu dalam bidang berkenaan dan sejak itu saya mula meminatinya.

“Apabila sudah bersedia, saya cuba buka tadika sendiri walaupun pada awal penubuhannya belum dapat melihat potensi baik untuk menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Atas dasar minat dan tidak terlalu memandang wang ringgit, dia meneruskan percubaannya membuka Tadika Bahtera Ilmu di Bukit Jelutong kerana berhampiran kediamannya.

Anak bongsu daripada 11 beradik ini akui bukan mudah untuk menguruskan tadika dan pada masa sama menjadi guru kerana banyak perkara yang perlu diambil perhatian apabila membabitkan kanak-kanak.

Baginya, untuk menjadi guru tadika yang baik, dia perlu memahami kanak-kanak secara mendalam. Bagi memahami kanak-kanak yang bakal diajar, dia perlu berbincang dengan ibu bapa terlebih dulu mengenai minat si kecil.

“Misalnya, kita perlu bijak dan tahu teknik untuk me­ngambil hati kanak-kanak yang berusia tiga tahun dan bukan memaksa mereka untuk rapat dengan kita.

“Sebaliknya, bincang dengan ibu bapa mengenai minat mereka sebelum secara perlahan-lahan mula mengenali watak untuk memahami diri si kecil secara menyeluruh,” katanya.

Justeru, tadika miliknya yang ditubuhkan pada 2004 itu banyak memberi perhatian terhadap teknik pembelajaran berasaskan permainan kepada kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun tanpa memaksa mereka untuk belajar secara serius.

Setiap permainan mempunyai objektif tersendiri dan guru perlu mengelakkan cara pembelajaran yang membosankan kepada kanak-kanak bagi menggalakkan minat mereka untuk terus belajar.

Terdapat 15 guru yang memantau 130 murid berusia tiga hingga enam tahun setiap hari. Sembilan kelas disediakan bagi memastikan setiap murid dapat bermain dan belajar dalam suasana selesa.

Baginya, untuk mendapatkan guru terbaik, pengetua itu sendiri perlu mempunyai asas atau latar belakang dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Ilmu dan teknik yang dimiliki itu perlu diturunkan atau dikongsi bersama guru untuk mencapai matlamat dalam penubuhan tadika.

Pemilik atau pengetua tadika juga perlu sentiasa mengambil tahu dan memantau setiap perkara yang berlaku di tadika biarpun ia hanya masalah kecil bagi memastikan guru menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Bagi memastikan setiap gurunya menjalankan tang­gungjawab masing-masing dengan baik, dia sering melakukan latihan atau perbincangan seperti cara menghadapi masalah dengan kanak-kanak dan keselamatan si kecil setiap hari.

Minatnya dalam pendidikan awal kanak-kanak bukan setakat itu saja, malah dia mengembangkan ilmunya dengan membuat seminar atau ceramah bagi memberi contoh terbaik kepada guru tadika lain untuk berjaya dalam banyak cabang kerjaya di bidang berkenaan.

Hingga kini, dia tidak pernah berhenti belajar dan terus menimba ilmu dalam bidang berkenaan hingga peringkat doktor falsafah (PhD). Dia sangat bersyukur kerana diberi peluang menjadi guru tadika sehingga menerbitkan rasa minat yang mendalam dalam bidang berkenaan.

Baginya, dunia pendidikan awal kanak-kanak mempu­ nyai cabang kerjaya yang meluas dan bukan ha­nya di tadika saja, sebaliknya boleh membabitkan diri dalam industri yang membabitkan kanak-kanak.

Nasihatnya kepada individu yang meminati bidang berkenaan agar sentiasa belajar mengenai teknik terbaru dalam mendidik melalui buku dan Internet kerana kita perlu bijak menerima perubahan mengikut peredaran zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 5:12 AM