SITI Elizad bersama salah seorang  kanak-kanak pesakit kanser.
SITI Elizad bersama salah seorang kanak-kanak pesakit kanser.
MARIA Tunku Sabri, Ungku Ismail, Ammar Titan dan Chef Fikree turut meluangkan masa.
MARIA Tunku Sabri, Ungku Ismail, Ammar Titan dan Chef Fikree turut meluangkan masa.
PERTH, Australia.
PERTH, Australia.
VIETNAM.
VIETNAM.
SIAM Reap.
SIAM Reap.
Oleh Michelle Gun


Selepas menjelajah enam negara menjalankan kempen dan penggambaran telefilem Travelling Beruang, pelakon Ungku Ismail Aziz kembali ke Malaysia untuk bertemu dengan pesakit kanser kanak-kanak.

Telefilem itu turut dibintangi pelakon Siti Elizad dan akan disiarkan di TV3 November ini.

Jelajah Ungku Ismail ke Indonesia, Australia, Kemboja, Vietnam, Tokyo dan China mendedahkan pelakon itu kepada pesakit kanser serta rawatan diberikan di negara berkenaan.

Menceritakan penggambaran dan kempen Travelling Beruang, hero drama Teman Lelaki Upahan itu berkata, lawatan berkenaan membolehkan dia berkongsi maklumat rawatan kanser kanak-kanak serta pengalaman mereka kepada pesakit di Malaysia.

“Saya baru selesai rakaman Travelling Beruang di Chongqing, China dan kembali ke tanah air untuk meneruskan penggambaran di beberapa lokasi,” katanya.

Pelakon itu ketika ditemui pada Program Khidmat Masyarakat Travelling Beruang di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, kelmarin berkata, setiap perjalanannya di enam negara terbabit membawa pengertian istimewa.

“Selain penggambaran telefilem dan kapsul, saya turut menceritakan perjalanan dengan orang ramai dengan menulis vlog, blog dan jurnal,” katanya.

Barisan artis yang turut hadir di Wad Pediatrik untuk memberi sokongan kepada pesakit kanser kanak-kanak adalah Siti Elizad, Yana Samsudin, Ammar Titan, Fara Fauzana, Chef Fikree dan Maria Tunku Sabri.

Biarpun sedih melihat keadaan kanak-kanak berkenaan, Ungku Ismail cuba menyembunyikan perasaannya itu supaya mereka lebih semangat.

“Saya tidak mahu terlalu emosi ketika bersama kanak-kanak ini sebaliknya perlu memberi kekuatan kepada mereka.

“Memang kisah mereka amat menyayat hati terutama ketika saya melawat seorang bayi yang menghidap kanser otak di Kelantan,” katanya.

Justeru, Ungku Ismail berharap kempen Travelling Beruang dapat menguatkan lagi semangat pesakit kanser kanak-kanak untuk terus berjuang.

“Menerusi kempen ini, saya mahu memberitahu kanak-kanak ini bahawa ramai individu prihatin menyokong mereka,” katanya.

Selepas ini, Ungku Ismail akan melawat pesakit leukemia kanak-kanak, Nur Hasmime Abdul Hamid di Kelantan.

Kasih sayang ubat melegakan kesakitan

Siti Elizad turut berkongsi beberapa tips kepada ibu bapa pesakit kanser kanak-kanak berdasarkan pengalamannya menjaga arwah ibunya yang menghidap Parkinson.

“Sepanjang lima tahun menjaga arwah, banyak yang saya pelajari iatu kesabaran dan paling penting adalah kasih sayang.

“Walaupun kebanyakan pesakit kanser kanak-kanak nampak sihat dan aktif, mereka akan merasai kesakitan ketika menjalani kimoterapi nanti.

“Jadi, ibu bapa perlu sentiasa melayan dan mengusap anak mereka kerana ia dapat melegakan penderitaan yang dilalui,” katanya.

Dalam telefilem Travelling beruang, Ungku Ismail memegang watak sebagai bapa yang kehilangan anak akibat kanser.

Dia kemudian memulakan kempen untuk mengajak masyarakat memakai topeng muka sebagai tanda kesedaran terhadap penyakit itu.

Ungku Ismail turut berinteraksi dengan pesakit kanser menerusi akaun Instagram peribadinya @ungkuismailaziz.

Perkembangan perjalanan Travelling Beruang juga dibawakan menerusi jurnal peribadi Ungku Ismail menerusi akhbar Berita Harian dan New Straits Times.

Kisah pengembaraan Ungku Ismail ke destinasi seterusnya boleh dibaca di laman rasmi www.travellingberuang.com.my.

Beli patung beruang untuk sumbang

Kempen Travelling Beruang bertujuan memberi kesedaran mengenai penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, rakyat Malaysia dan dermawan diharap memberi sokongan terhadap kempen ini dengan memberi sumbangan dana berterusan bagi membantu menampung kos pesakit kanser kanak-kanak menerusi Tabung Travelling Beruang MAKNA.

Sumbangan secara terus kepada tabung ini boleh dibuat menerusi akaun Tabung Travelling Beruang MAKNA iaitu 514075616705 (Maybank).

Selain itu, orang ramai boleh menderma dengan membeli patung Travelling Beruang pada harga RM65 dan hasil jualan akan diserahkan sepenuhnya kepada tabung berkenaan.

Patung ini boleh didapati menerusi portal www.wowshopping.com.my atau mendapatkannya di Altel Concept Store bertempat di Oasis Square, Oasis Damansara, Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 9:39 AM