DARI kiri, Pengurus Besar MAKNA Farahida Mohd Farid, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9 Sherina Nordin, Ungku Ismail, Ketua Komersial AirAsia Berhad Spencer Lee dan Ketua Pegawai Operasi ALTEL Rizwal Mohd Ain pada majlis pelancaran Travelling Beruang, baru-bru ini.
DARI kiri, Pengurus Besar MAKNA Farahida Mohd Farid, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9 Sherina Nordin, Ungku Ismail, Ketua Komersial AirAsia Berhad Spencer Lee dan Ketua Pegawai Operasi ALTEL Rizwal Mohd Ain pada majlis pelancaran Travelling Beruang, baru-bru ini.
Syanty Octavia Amry


Demi menghayati watak dalam telefilem berjudul Travelling Beruang yang bakal bersiaran di TV3 tidak lama lagi, Ungku Ismail Aziz bertemu bapa pesakit kanser, Nur Hasmime Hamid atau Mime.

Pertemuan itu bagaimanapun mendorong pelakon terbabit menggerakkan kempen sebagai tanda sokongan terhadap Mime dan tanpa diduga usahanya itu mendapat sokongan pelbagai pihak.

Pelakon itu banyak menghabiskan masa dengan membuat kajian malah perkongsiannya menerusi Intagram menjadi viral apabila dia meminta orang ramai untuk sama-sama memakai topeng sebagai tanda sokongan kepada kanak-kanak itu.

“Dalam telefilem Travelling Beruang saya pegang watak bapa yang kematian anak akibat kanser. Bagi mendapatkan ‘mood’ watak itu, saya membuat penyelidikan termasuk menonton kisah adik Mime dalam program Bersamamu TV3.

“Saya bertemu ayah Mime untuk mengetahui bagaimana dia berdepan dugaan itu dan menjaga Mimie.

“Saya semakin teruja mendalami isi hati keluarga ini apabila mengetahui dua abang Mime turut menghidap kanser.

“Selepas mendengar rintihan ibu Mime yang hanya makan tiga keping biskut sehari bagi mengumpul duit untuk membiayai perubatan Mime, saya terfikir untuk melakukan sesuatu,” katanya.

Dia tidak menyangka TV3 sudi menganjurkan kempen bagi membantu Mime dan keluarga. Lebih menarik, kempen itu turut mengunakan nama Travelling Beruang.

“Saya gembira apabila hasrat mengadakan kempen memberi semangat kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser mendapat sokongan TV3.

“Malah AirAsia turut merealisasikan kempen ini dengan menjual patung beruang dalam pesawat.

“Ikutkan dalam telefilem ini saya akan mengembara ke beberapa tempat dan sangat bersyukur mendapat tajaan daripada Air Asia.

“Saya akan pergi ke tujuh negara antaranya Perth (Australia), Lombok (Indonesia), Siem Reap (Kemboja), Chongqing (China) dan Ho Chi Mint (Vietnam).

“Selain menjalani penggambaran telefilem saya akan membawa patung beruang dan meminta orang ramai atau kanak-kanak bergambar sambil memegang patung itu.

“Mungkin juga saya akan merakamkan video ucapan mereka sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini,” katanya.

Ungku Ismail akan memulakan pengembaraannya pada 21 Jun ini dengan memilih Lombok sebagai destinasi pertama.

Setiap jualan patung beruang dalam pesawat Air Asia akan disalurkan ke tabung Travelling Beruang dan diserahkan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) untuk membantu kanak-kanak yang menghidap kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:07 AM