Riga, Latvia: Republik Czech beroleh peluang hasil permulaan baik pada kempen kelayakan Euro 2016, kata kapten Petr Cech selepas negaranya menempah tiket ke pusingan akhir di Perancis tahun depan.

“Menang empat perlawanan awal membuka laluan buat kami,” kata penjaga gol Arsenal itu selepas pasukannya muncul negara kedua layak ke pusingan akhir, mengikut jejak England.

Kemenangan 2-1 ke atas Latvia di Riga awal pagi semalam memastikan mereka menduduki salah satu dari dua tempat teratas Kumpulan A tetapi Cech berkata, keyakinan pasukannya bermula sejak Czech menundukkan Belanda pada perlawanan pembukaan, September lalu.

“Menewaskan pasukan yang memenangi gangsa Piala Dunia pada perlawanan pertama memberikan kami keyakinan diri,” kata Cech.

“Kami menampilkan pasukan baru dan kami tidak menang banyak perlawanan ketika persiapan. Belanda adalah pasukan besar pertama yang kami tewaskan dan kami mula sedar bahawa kami mampu bersaing dengan pasukan hebat serta berpeluang untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Selepas menang empat perlawanan, kami mempunyai asas yang kukuh.”

Tidak kurang pentingnya kemenangan dicapai di Prague minggu lalu ketika menentang Kazakhstan.

“Ketika kami tercicir dua mata di tempat sendiri pada perlawanan menentang Latvia (Mac), semua berkata ‘mungkin kita sampai di sini saja’. Kami tewas di tangan Iceland (Jun) dan semua menjangka kami akan panik.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:25 AM