Cech sertai Chelsea sebagai penasihat teknikal. FOTO REUTERS
Cech sertai Chelsea sebagai penasihat teknikal. FOTO REUTERS
AFP

PETR Cech akan kembali ke Chelsea dengan peranan sebagai penasihat teknikal selepas bersara daripada tugasan sebagai penjaga gol pada usia 37, bulan lalu.

Cech akan menjadi orang tengah antara pengurus baru kelab itu dan pengarah, Marina Granovskaia selepas jawatan itu kosong berikutan Michael Emenalo meletak jawatan sebagai pengarah teknikal dua tahun lalu.

“Petr Cech kembali sebagai Penasihat Teknikal dan Prestasi Chelsea,” menurut Chelsea dalam kenyataan, hari ini.

“Fokus tugasan adalah memberi nasihat terhadap semua perkara membabitkan prestasi dan bolasepak di kelab itu serta membentuk hubungan pemain skuad bolasepak utama dan akademi untuk memastikan semua jabatan bekerjasama dengan berkesan.”

Cech memenangi 13 gelaran utama termasuk empat kejayaan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) dalam sepanjang karier selama 11 tahun bersama Chelsea sebelum menyertai Arsenal pada 2015.

Aksi terakhir bekas pemain antarabangsa Republik Czech itu sebelum bersara adalah ketika tewas 4-1 kepada Chelsea ketika Blues menjulang Liga Europa, Mei lalu.

“Saya berasa bertuah mendapat peluang untuk sekali lagi menyertai Chelsea FC dan membantu mewujudkan persekitaran berprestasi tinggi untuk meneruskan kejayaan kelab ini sejak 15 tahun yang lalu,” kata Cech.

Cech dijangka bekerjasama dengan salah seorang bekas rakan sepasukannya iaitu Frank Lampard yang dijangka kembali ke Stamford Bridge selaku pengurus baru Chelsea bagi menggantikan Maurizio Sarri yang berhijrah ke Juventus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 5:39 PM