MESSI (kanan) didaftarkan sebagai penolong jurulatih yang membolehkannya berada di bangku simpanan ketika Argentina menentang Bolivia di La Paz, kelmarin. - FOTO AFP
MESSI (kanan) didaftarkan sebagai penolong jurulatih yang membolehkannya berada di bangku simpanan ketika Argentina menentang Bolivia di La Paz, kelmarin. - FOTO AFP
Agensi

La Paz: Lionel Messi memegang jawatan baharu ketika Argentina menang 3-0 ke atas Bolivia pada aksi kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan, kelmarin.

Kapten Argentina itu terpaksa diketepikan bagi perlawanan itu kerana cedera, tetapi dia didaftarkan sebagai penolong jurulatih dalam skuad kendalian Lionel Scaloni.

Max Grillo dari TNT Sports melaporkan, Messi boleh duduk di bangku pemain simpanan sekalipun tidak didaftar dalam skuad sebagai pemain selepas dia mengisi satu borang Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) menyatakan jawatannya sebagai penolong jurulatih.

Messi yang kini beraksi dengan Inter Miami dalam Major League Soccer, cedera ketika menentang Ecuador pada aksi terdahulu.

Di sebalik kecederaan itu, dia masih mampu menjaringkan gol tunggal kemenangan menerusi sepakan percuma melencong yang mengagumkan.

Scaloni berpendapat lebih baik tidak mengambil risiko ke atas Messi menentang Bolivia, apatah lagi bandar La Paz terletak 3,625 meter di atas paras laut.

Oksigen amat nipis di Stadium Hernando Siles dan menjadi perkara biasa pasukan lawan berehat dalam perlawanan untuk menyedut oksigen.

Messi pernah bergelut di stadium itu sebelum ini ketika dia menjadi sebahagian daripada pasukan Argentina kendalian Diego Maradona yang tumbang 1-6 di tangan Bolivia pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 11:33 AM