RALDES (tengah) meraikan jaringan  bersama rakan sepasukan.
RALDES (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AP

Valparaiso, Chile: Bolivia menjaringkan tiga gol tanpa balas pada babak pertama dan bertahan sebelum menang 3-2 ke atas Ecuador dalam Kumpulan A aksi Copa America semalam, sekali gus merekod kemenangan pertama pada kejohanan itu dalam tempoh 18 tahun.

Bolivia mengumpul empat mata daripada dua perlawanan pertama pada kejohanan Amerika Selatan itu, manakala Ecuador kalah dua perlawanan pertamanya dan berdepan kemungkinan tersingkir pada pusingan pertama.

Ronald Raldes menyumbat gol pada minit kelima, menanduk sepakan sudut di belakang penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez. Martin Smedberg menjaringkan gol menerusi rembatan leret dari jarak 25 meter pada minit ke-18 manakala Marcelo Moreno menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-43 ketika Bolivia mendominasi babak pertama.

“Ramai tidak percaya dengan keupayaan kami di Bolivia,” kata jurulatih Mauricio Soria. “Tapi, kami membuktikan mampu berjuang.”

Ketinggalan 0-2, Ecuador menekan lawan dan memiliki beberapa peluang untuk bangkit. Kesempatan terbaik hadir apabila Enner Valencia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38 namun pengadil Joel Aguilar mengarahkan sepakan semula berikutan gangguan.

Valencia mengambil sepakan itu semula, namun penjaga gol Bolivia, Romel Quinonez mengagak dengan tepat dan melayangkan badan ke sebelah kanan untuk menyelamatkannya.

Ecuador bangkit pada minit ke-48 apabila Valencia melakukan lambungan cantik dari jarak dekat. Gol itu menyemarakkan semangat Ecuador untuk terus menekan dengan Quinonez terpaksa bertindak cemerlang menyelamatkan pasukannya beberapa kali.

Miller Bolanos merapatkan defisit kepada satu gol pada minit ke-82 selepas melakukan rembatan kencang dari jarak 30 meter yang melepasi jangkauan Quinonez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:20 PM