Oleh Neelofa

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca setia Nota Neelofa. Alhamdulillah, sekali lagi bertemu kita dalam ruangan yang mendekatkan Lofa dengan peminat. Ming­gu ini bagi Lofa sangat panjang dan memenatkan. Pelbagai perkara menarik dan kurang menarik berlaku dalam hidup Lofa. Biasalah, mana ada kehidupan yang semuanya indah belaka. Dugaan akan buat kita sedar diri dan tidak terus leka bermimpi. Jika semua sempurna, kita mungkin meninggi diri dan jadi insan yang tidak tahu bersyukur.

Itulah topik Nota Neelofa minggu ini, belajar mensyukuri nikmat yang dikecapi dan jauhi sikap angkuh serta meninggi diri. Sebelum itu, ingin Lofa ingatkan bahawa apa yang Lofa tulis ini hanyalah nukilan dan tidak ada kaitan dengan Lofa atau pun orang sekeliling. Anggaplah ia pesanan ikhlas kepada peminat yang sudah Lofa anggap rakan karib.

Pernah tak anda berada dalam situasi apa yang anda lakukan atau kecapi tetapi tidak merasai nikmat kepuasannya? Sebagai contoh, walau sekaya mana pun seseorang itu, dia rasa kosong. Baguslah kalau tidak pernah. Bagi yang pernah merasai, inilah petunjuk supaya muhasabah kembali hidup anda.

Pertama, tanya pada diri, pernah­kah anda bersyukur dengan apa yang dimiliki? Kedua, pernahkah anda kongsi rezeki atau kelebihan yang ada untuk kebahagiaan bersama?

Ketiga, setiap kali beroleh kejayaan, pernah tak anda berterima kasih kepada orang sekeliling terutamanya ibu bapa? Jika, salah satu daripada persoalan ini jawapannya tidak, maka eloklah kita segera perbetulkan khilaf kita. Insya-Allah, kita akan kembali tenang.

Lofa bukanlah nak berlagak pandai atau mahu jadi penceramah, namun apa yang Lofa sentuh di sini adalah menerusi pembacaan dan pengamatan Lofa. Lofa perhatikan, kebanyakan mereka yang berjaya majoriti mengamalkan tiga prinsip persoalan yang Lofa sebut tadi.

Lofa sempat berbual dengan salah seorang ahli perniagaan ternama di Malaysia. Namanya Lofa terpaksa rahsiakan. Lofa bertanya apa rahsia kejayaannya dan dia jawab, jangan lupa bersyukur tidak kira kecil atau besar kejayaan kita. Keduanya, sentiasa meletakkan ibu bapa sebagai keutamaan dalam setiap urusan harian.

Jawapan yang diberikan individu berkenaan buat Lofa terfikir permasalahan yang berlaku di sekeliling kita. Berdasarkan pemerhatian Lofa, ramai ghairah mengejar kemewahan dunia hingga ada yang sanggup mengetepikan ibu bapa. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Bersyukurlah, tanpa sokongan, bantuan dan doa ibu bapa, anda tidak mungkin berada di kedudukan sekarang. Mereka sentiasa memastikan anda berada dalam keadaan terbaik.

Lofa sayang semua kawan dan peminat. Lofa tidak mahu mereka alpa hingga lupakan ibu bapa. Kalau boleh Lofa mahu semua berjaya dunia dan akhirat.

Seperkara lagi, jika anda berasakan Lofa terbabas daripada landasan dek kerana kerja dan kejayaan Lofa, tolong ingatkan dan perbetulkan Lofa. Sebagai manusia kadangkala kita hanya pandai bagi nasihat tetapi kesalahan sendiri tak perbetulkan pula. Itulah pentingnya saling ingat-mengingati.

Sampai di sini saja nukilan Lofa minggu ini. Sekali lagi, ini hanyalah pesanan Lofa buat semua dan diri sendiri. Mana yang baik kita ambil sebagai pembelajaran, yang buruk kita campak jauh-jauh.

Akhir kata, jangan lupa bersyukur dengan setiap nikmat yang dikecapi dan jangan lupa menghubungi ibu bapa anda. Telefonlah mereka sekarang!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 1:10 AM