GOL tunggal perlawanan jaringan De Rossi (dua dari kiri).
GOL tunggal perlawanan jaringan De Rossi (dua dari kiri).
AFP

Milan: Penalti babak pertama sumbangan Daniele De Rossi membolehkan Itali mengalahkan Bulgaria 1-0 di Palermo sekali gus membantu mereka semakin hampir mara ke pusingan akhir Euro 2016.

Tiga hari selepas menang 1-0 ke atas Malta hasil gol tunggal Graziano Pelle, kemenangan terbaru itu melonjakkan Itali ke persada Kumpulan H.

Pesaing utama, Norway menang 2-0 ke atas pasukan di tangga ketiga, Croatia di Oslo dan kini hanya dua mata di belakang Itali sambil berbaki dua perlawanan.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Kami memenuhi objektif untuk mengumpul enam mata hasil dua perlawanan ini tapi kami perlu memperbaiki pergerakan di depan gol lawan,” kata jurulatih Itali, Antonio Conte.

“Anak buah saya sudah memberikan segala-galanya dan saya gembira dengan komitmen mereka.”

Sabtu lalu, Conte meluahkan rasa kecewanya terhadap kritikan yang dilemparkan terhadap prestasi Andrea Pirlo ketika mereka menang 1-0 ke atas Malta.

Begitupun, bekas jurulatih Juventus itu terpaksa meletakkan pemain tengah New York City FC itu di bangku simpanan dan memasukkan pemain tengah Roma, De Rossi tetapi keputusan itu benar-benar berbaloi.

Itali bermula dengan baik apabila menggunakan kesempatan hasil kesilapan benteng pertahanan lawan dan Stephan El Shaarawy hampir menjaringkan gol menerusi sepakan gunting tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Bulgaria, Bozhidar Mitrev.

Tiga minit kemudian, pengadil Russia, Sergei Karasev menghadiahkan penalti selepas Veselin Minev mengasari Antonio Candreva dan De Rossi tenang menyempurnakannya.

Pada aksi ke-150 Gianluigi Buffon selaku penjaga gol Itali, dia tidak banyak diuji cuma terpaksa melayangkan badannya sekali untuk menepis cubaan Ilian Mitsanski.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:30 AM