Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Peguam Kamal Hisham Ja'afar yang ditahan di Singapura semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM533,000, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz, tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, dia yang sudah tiga tahun dikehendaki polis dituduh melakukan pecah amanah membabitkan penyewaan dua ruang niaga dengan keseluruhan sewa RM533,000 tanpa persetujuan Lembaga Pengarah syarikat, antara Disember 2009 dan Oktober 2010.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan pasport hendaklah diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu sekali.

Pendakwaan dijalankan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Johor, Saiful Edris Zainuddin manakala tertuduh diwakili barisan peguam yang diketuai S Prakash.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 12:32 PM