Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Peguam Kamal Hisham Ja'afar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat Southern Ads Sdn Bhd RM216,000, lima tahun lalu.

Dia yang hadir berpakaian lokap berwarna oren mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, Kamal Hisham didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang syarikat dengan curangnya meluluskan pembayaran RM216,000 melalui cek kepada firma guaman Tetuan Kamal Hisham & Associates sedangkan tiada pembayaran yang patut dibuat kepada firma guaman itu pada 17 Mei dan 4 Jun 2010.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 12:07 PM