MAJLIS pelancaran Malaysia 101 Edutourism Packages.
MAJLIS pelancaran Malaysia 101 Edutourism Packages.
PELBAGAI aktiviti menarik yang ditawarkan.
PELBAGAI aktiviti menarik yang ditawarkan.
Oleh Suliati Asri


Dalam usaha memperkenalkan Malaysia di mata dunia, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Tourism Malaysia melancarkan Malaysia 101 Edutourism Packages sempena Minggu Pengajian Tinggi Malaysia (HEWM2015).

Pakej edu menawarkan peserta peluang untuk menggabungkan percutian dengan pengalaman pembelajaran berpandu dan mendedahkan mereka kepada keajaiban pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, inisiatif itu adalah strategi penting untuk menyediakan modal insan yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.

Beliau berkata, Malaysia 101 Edutourism Packages adalah usaha kerajaan untuk mengenal pasti dan mengumpul produk Edutourism di universiti awam.

“Universiti adalah gedung ilmu yang tiada nilainya dan dalam usaha untuk memasyarakat universiti, program Edutourism diwujudkan supaya masyarakat dapat menikmati sistem pendidikan dan hasil penyelidikan.

“Penghasilan pakej ini amat sesuai dan bertepatan dengan Tahun Festival Malaysia 2015 yang menyasarkan 29.4 juta pelancong asing ke Malaysia dengan anggaran pendapatan RM89 billion.

“Bagi pelancong domestik, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menyasarkan kedatangan pelancong domestik sebanyak 63.7 juta pelancong da hasil pendapatan RM43 billion,” katanya.

Buat masa ini, 149 pakej ditawarkan sembilan universiti bekerjasama dengan 20 agensi pelancongan.

Antara universiti yang menawarkan 101 Pakej Edutourism ini termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menerusi pakej ini, banyak aktiviti dan sesi lawatan yang boleh dibuat mengikut apa yang disediakan universiti ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 8:27 AM