Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) diwartakan dan berkuatkuasa secara rasminya mulai 1 September.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam penggubalan POTA ini, terdapat satu undang-undang baru turut digubal di samping beberapa pindaan selari yang dibuat terhadap empat undang-undang sedia ada.

"Ini bertujuan untuk memastikan undang-undang tersebut benar-benar mantap dan komprehensif agar anasir-anasir ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya dalam kenyataan di keluarkan di sini, hari ini.

Undang-undang baru yang digubal adalah Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 [Akta 770] (SMATA).

"SMATA membenarkan Ketua Pengarah Imigresen melalui suatu perintah untuk menggantung atau membatalkan semua dokumen perjalanan warganegara Malaysia yang terbabit dalam organisasi pengganas tersenarai di negara asing.

"Manakala, Menteri pula diberi kuasa mengeluarkan perintah untuk menuntut penyerahan dokumen perjalanan asing dimiliki oleh seseorang yang bukan warganegara Malaysia yang terbabit dengan organisasi pengganas di negara asing dan diserahkan kepada polis untuk ditahan selama 14 hari bagi proses siasatan," katanya.

Sementara itu, pindaan selari yang dibuat atas beberapa undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 Kanun Keseksaan; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA); dan Akta Penjara (Pindaan) 2015.

POTA dibentangkan di Parlimen pada sesi Mac 2015 dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 28 Mei lalu.

Ia boleh digunakan pihak berkuasa untuk memastikan tiada individu yang terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya mereka membabitkan diri dalam perbuatan keganasan.

Undang-undang itu dibuat selaras pembentangan Kertas Putih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 November 2014 di Dewan Rakyat bertajuk 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Militan Islamic State.

Ahmad Zahid berkata, Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA); Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 Kanun Keseksaan dan SOSMA sudah pun dikuatkuasakan pada 15 Jun lalu.

Manakala Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 dan Akta Penjara (Pindaan) (No.2) 2015 dikuatkuasakan bersekali dengan POTA pada 1 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 12:02 AM