NAJIB berucap ketika Persidangan Antarabangsa Menangani Deradikalisasi Dan Menangani Keganasan Melampau 2016 di Kuala Lumpur. FOTO Abdullah Yusof
NAJIB berucap ketika Persidangan Antarabangsa Menangani Deradikalisasi Dan Menangani Keganasan Melampau 2016 di Kuala Lumpur. FOTO Abdullah Yusof
Oleh Hairulazim Mahmud dan Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Malaysia tidak akan membenarkan sebarang anasir keganasan termasuk atas nama agama menyelinap masuk ke negara ini, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak .

Perdana Menteri berkata, undang-undang yang ada akan melindungi rakyat Malaysia seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 [Akta 770] (SMATA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan Majlis Keselamatan Negara.

"Sebarang usaha untuk mengebom, mencacatkan atau memenggal kepala bukan di sini tempatnya kerana rakyat Malaysia menolak peperangan dan keganasan," kata beliau ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Menangani Keganasan Melampau 2016 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri.

Persidangan dua hari itu yang julung kali dianjurkan ini dihadiri semua Menteri ASEAN dan sembilan menteri-menteri negara rakan strategik seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates (UAE), Jepun, China dan Itali yang bertanggungjawab dalam menangani ancaman ekstremis militan negara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 11:43 AM