Muhyiddin menjelaskan semua akta berkaitan keselamatan negara sedang dikaji semasa bercakap kepada media di lobi Parlimen. FOTO Luqman Hakim Zubir
Muhyiddin menjelaskan semua akta berkaitan keselamatan negara sedang dikaji semasa bercakap kepada media di lobi Parlimen. FOTO Luqman Hakim Zubir
Ahmad Suhael Adnan

PINDAAN atau pemansuhan akta berkaitan keselamatan negara akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan depan, atau selewat-lewatnya persidangan akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, enam akta dan satu hukuman sedang dikaji kerajaan, menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-Undang Keselamatan pada Julai lalu.

Akta dan hukuman itu ialah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Perhimpunan Aman 2012, serta hukuman mati mandatori dalam semua akta.

Katanya, jawatankuasa khas itu sudah menyiapkan laporan yang kini sedang diteliti Jawatankuasa Teknikal di Pejabat Peguam Negara bagi mengkaji secara terperinci isu yang dibangkitkan.

“Antara isu dibincangkan ialah penahanan tanpa bicara (POCA dan POTA), tempoh tahanan reman yang panjang iaitu 60 hari (POCA dan POTA) serta 28 hari (SOSMA), dan ketiadaan ruang untuk semakan kehakiman di mahkamah dari segi merit ke atas penahanan mengikut POCA dan POTA.

“Selain itu, kuasa pihak penguat kuasa yang terlalu luas, sekatan kebebasan bersuara dan berhimpun, serta penyalahgunaan undang-undang keselamatan untuk tujuan politik.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mendapatkan keputusan Jemaah Menteri mengenai pindaan atau pemansuhan undang-undang berkenaan, dan Jabatan Peguam Negara akan menyediakan rang undang-undang (RUU) berkaitan selepas ia dipersetujukan Kabinet,” katanya ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Muhyiddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi menangani kes membabitkan akta berkenaan, sementara menunggu pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan diluluskan Parlimen dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Arahan saya ialah supaya pihak penguat kuasa undang-undang seboleh mungkin meraikan hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan bergerak bebas selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Ditanya keperluan melaksanakan moratorium terhadap enam akta dan hukuman mati mandatori itu, Muhyiddin berkata, undang-undang berkenaan masih berfungsi selagi ia belum dimansuh atau dipinda.

Terdahulu, Muhyiddin menerima satu memorandum daripada beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli keluarga tahanan SOSMA berhubung cadangan pemansuhan akta berkenaan di lobi Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 12:53 PM