AFP

New York: Pilihan ketiga dari Russia, Maria Sharapova menarik diri daripada Terbuka Amerika Syarikat semalam kerana kecederaan kaki kanan sekali gus memudahkan laluan buat pilihan utama Serena Williams (gambar) untuk melengkapkan Grand Slam tahun ini.

Pengarah kejohanan Terbuka AS, David Brewer mengumumkan penarikan diri Maria, yang memberi peluang kepada Daria Kasatkina dari Russia mengambil tempatnya dalam undian utama.

“Malang saya tidak dapat bertanding pada Terbuka AS tahun ini,” tulis Maria dalam Twitter. “Saya sudah melakukan apa yang perlu untuk bersedia tapi masa tidak menyebelahi saya.

“Kepada semua peminat, saya akan kembali di Asia dalam beberapa minggu lagi dan tidak sabar untuk menamatkan musim ini dengan sihat dan bertenaga.”

Maria pemain pilihan tertinggi berada dalam undian sama dengan Serena pada Terbuka AS, status yang kini dipegang pilihan ketujuh Ana Ivanovic dari Serbia, yang mungkin bertemu dengan pemain Amerika berusia 33 tahun itu pada separuh akhir.

Serena cuba melengkapkan kejayaan meraih Grand Slam dalam satu tahun kali pertama sejak Steffi Graf pada 1988 dan menyamai rekod Steffi dengan 22 gelaran Slam dalam era Terbuka.

Maria tidak beraksi sejak kalah kepada Serena pada separuh akhir Wimbledon bulan lalu kerana kecederaan, yang mana dia menangani kecederaan itu hari demi hari sejak ia berlaku.

“Menangani kecederaan yang berulang ini, ia perlukan proses hari demi hari,” ujar Maria kelmarin. “Apabila anda berdepan sesuatu dengan badan, ia sering kali proses hari demi hari.”

Serena mengungguli rekod 18-2 pertemuan sesama sendiri dengan Maria dan menang 17 perlawanan terakhir berturut-turut.

Sebelum menarik diri daripada kejohanan itu buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, Maria menganggap kecederaan itu “hanya kekejangan otot.”

“Saya sudah melakukan sebaik mungkin untuk bersedia,” jelas Maria. “Tiada apa lagi yang boleh saya lakukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:40 AM