SERENA bakal berentap dengan Maria di peringkat 16 terbaik Terbuka Perancis. -Foto AFP
SERENA bakal berentap dengan Maria di peringkat 16 terbaik Terbuka Perancis. -Foto AFP
AFP

JUARA tiga kali Terbuka Perancis, Serena Williams mungkin berdepan dengan bintang jelita Russia,  Maria Sharapova di peringkat 16 terbaik kejohanan itu sebaik undian dilakukan semalam manakala Rafael Nadal bertuah apabila undian berkenaan memudahkannya menambah koleksi kemenangan apabila memulakan saingan Ahad ini.

Serena, yang menjuarai Terbuka Perancis pada 2002, 2013 dan 2015, akan memulakan saingan menentang  pemain Repbulik Czech, Kristyna Pliskova.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang kini menghuni ranking ke-453, kembali ke saingan Grand Slam selepas kejayaan merangkul kejuaraan ke-23 di Terbuka Australia pada 2017 dan kemudian berehat selepas melahirkan anak perempuan September lalu.

Pliskova pula yang juga adik kembar pemain nombor enam dunia, Karolina, belum pernah memenangi saingan di Roland Garros ini.

Serena, 36,  hanya beraksi empat kali musim ini sejak kembali aktif Mac lalu iaitu di Terbuka Miami dan Indian Wells.

Sharapova, yang menjuarai gelaran ini pada 2012 dan 2014, dijangka berdepan Serena sekali lagi untuk menebus kekalahan di pusingan keempat pada edisi 2013.

Tahun lalu, bintang tenis Russia itu tidak mengambil bahagian susulan keengganannya menerima wildcard dengan alasan untuk mengembalikan karier tenisnya selepas digantung 15 bulan akibat kesalahan doping.

Jika mereka bertemu, rekod menyebelahi Serena dengan 19-2.

Namun untuk pertemuan itu menjadi kenyataan, Sharapova perlu melepasi halangan pilihan keenam, Karolina Pliskova.

Pilihan utama, Simona Halep yang muncul dua kali naib juara pula berdepan pemain Amerika Syarikat (AS), Alison Riske dalam aksi sulung manakala juara Terbuka Australia, Caroline Wozniacki bakal bertemu seorang lagi pemain AS, Danielle Collins.

Pilihan utama lelaki pula menyaksikan Nadal memulakan pertemuan menentang pemain ranking ke-54 dunia dari Ukraine, Alexander Dolgopolov.

Nadal, yang baru menjuarai gelaran kelapan di Terbuka Rome dan menjulang trofi di Barcelona dan Monte Carlo memiliki rekod pertemuan 7-2 ke atas Dolgopolov. 

“Ia sentiasa perlawanan yang istimewa setiap kali saya kembali ke Paris yang menyaksikan banyak kenangan manis saya peroleh di sini,” kata Nadal sejurus majlis undian semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 7:52 AM