Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang terpaksa diterima Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Ragbi Piala Crescent (CCRC), Hisham Abd Rahman (gambar) yang juga pemilik JustOnSports (JOS) apabila dipecat selaku Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) berkuatkuasa 19 Ogos lalu.

Menurut sumber dalaman, keputusan memecat Hisham itu dibuat ekoran rasa kurang senang dengan tindakannya mengkritik KRM terutama susulan insiden tumbuk-menumbuk antara pemain negara dengan Algeria yang didakwa sengaja mencari kesalahan penganjur disamping turut mempertikaikan kredebiliti Jawatankuasa Khas bagi menyiasat punca insiden berkenaan.

“Semua orang tahu yang siasatan berhubung insiden itu kini sudah diserahkan kepada Badan Ragbi Dunia (IRB) bagi menyiasat punca pergaduhan, sekali gus hukuman dapat dikenakan kepada pesalah secara adil tanpa ada unsur berat sebelah.

“Tapi, tindakan mereka (KRM) memecat beliau (Hisham) bagi saya ianya sama sekali tidak adil kerana siasatan mengenai isu itu masih berjalan.

“Kalau mereka buat keputusan itu (memecat) disebabkan oleh tindakannya mengkritik KRM bagi saya tidak salah. Beliau antara individu tertinggi dalam persatuan dan ada hak untuk bersuara.

“Dengan keputusan melulu itu, KRM sebenarnya sudah hilang pemimpin berkaliber yang sudah banyak menyumbang kepada pembangunan ragbi negara,” kata sumber itu, semalam.

Sementara itu, Hisham menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan akan terus menyumbang bakti biarpun tidak lagi berada dalam KRM.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama dalam persatuan yang banyak membantu saya selama ini mengembangkan sukan ini.

“Walaupun pahit untuk menerimanya, saya redha dan akan terus berjuang di luar KRM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:15 AM