SO’OIALO (dua dari kiri) menginap di asrama KMR.
SO’OIALO (dua dari kiri) menginap di asrama KMR.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan ragbi 15 sebelah kebangsaan akan dipantau secara rapi selepas ketua jurulatihnya Rodney So'oialo membuat keputusan tinggal bersebelahan padang ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bekas kapten New Zealand itu akan tinggal di asrama KMR One Residence milik UPM Holdings bagi mengoptimumkan latihan skuad Bunga Raya di padang tempat mereka berlatih itu.

"Pihak KRM bersama UPM Holdings telah berkolaborasi bagi saling membantu menyokong menaikkan sukan ragbi dan juga fasiliti sukan disediakan di UPM," menurut kenyatan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings Azrul Reza Aziz berkata ia merupakan usaha dalam membantu menaikkan kembali industri fasiliti sukan seperti sukan ragbi yang turut terkesan sejak 2020 akibat Covid-19.

Beliau berkata UPM Holdings dalam masa sama juga sedang memberi fokus menaikkan kembali sukan golf di Kelab Golf UniPutra dengan membuka keahlian kepada orang awam.

Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya pula berkata kerjasama antara UPM Holdings dan KRM dapat menambah baik fasiliti diberikan kepada atlet sukan ragbi sekali gus mempromosikan fasiliti sukan yang ada di UPM.

Menerusi sebuah video dikongsikan, So'oialo, 42, turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UPM Holdings atas penyediaan fasiliti tempat tinggal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 9:52 PM