Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dalang sebenar yang mencetuskan insiden tumbuk menumbuk pada aksi final Piala Crescent di antara Malaysia dan Algeria di Melaka bakal diketahui selewat-lewatnya Isnin depan selepas Jawatankuasa Khas selesai memanggil semua saksi terlibat dalam minggu ini.

Menurut Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) M Suhaimi Zainuddin, jawatankuasa itu yang dipengerusikan Pesiden KRM Tan Sri Abdul Halim Karim kini di peringkat akhir sebelum menyerahkan laporan berkenaan kepada Panel Disiplin KRM bagi menentukan bentuk hukuman yang akan diterima pemain negara sekiranya didapati bersalah.

Bagaimanapun sekiranya pemain Algeria pula didapati memulakan pergaduhan itu, pihaknya akan membentangkan laporan penuh kepada Badan Ragbi Dunia (IRB) disamping mencadangkan bentuk hukuman yang patut dikenakan kepada pemain terlibat mengikut peruntukan salah laku sedia ada.

“Kami (Jawatankuasa Khas) sudah menerima semua laporan penuh daripada pihak terlibat seperti pengurus pasukan, penganjur, pegawai perubatan, pengadil dan juga video perlawanan serta gambar-gambar yang berkaitan untuk disiasat dan diteliti.

“Kemudian, kami akan memanggil mereka yang didapati terlibat dalam insiden itu untuk diambil keterangan. Kita juga akan teliti perkembangan siasatan polis sebelum membuat sebarang ketetapan pada 29 Jun ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Ulasnya lagi, beliau amat berpuas hati dengan kerjasama diberikan semua pihak dalam usaha menyiapkan laporan itu dan berjanji akan memastikan individu bersalah menerima hukuman setimpal.

“Setakat ini semuanya berjalan baik dan saya ucapkan terima kasih kepada pengadil, pengurus dan pengelola kerana memberi kerjasama penuh kepada kami.

“Saya tahu semua pihak terutama peminat sukan ragbi negara menantikan keputusan ini kerana ia melibatkan maruah negara yang tercalar selaku tuan rumah. Saya harap semua pihak bersabar dan akan dimaklumkan dalam waktu terdekat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:17 AM