SALAH seorang pengadil yang cedera akibat dipukul pemain ragbi Algeria.
SALAH seorang pengadil yang cedera akibat dipukul pemain ragbi Algeria.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi menyiasat secara terperinci disamping menyediakan laporan penuh insiden pergaduhan pada final Piala Crescent membabitkan pemain Algeria dan Malaysia di Melaka, Ahad lalu.

Setiausaha Agung Kehormat KRM, M Suhaimi Zainuddin berkata, penubuhan jawatankuasa itu dimuktamadkan pada mesyuarat tergempar malam kelmarin dan akan dianggotai lima individu berpengalaman dikalangan ahli Majlis Tertinggi badan induk ragbi negara itu.

Timbalan Presiden, Tan Sri Abdul Halim Karim akan mengetuai jawatankuasa itu dan dibantu dua Naib Presiden serta dirinya disamping seorang individu yang lantik dari ahli gabungan KRM.

Menurut beliau, banyak persoalan timbul khususnya mengenai punca pergaduhan dan soal keselamatan yang menjadi topik hangat pelbagai pihak yang mengecam penganjur kejohanan JustOnSports (JOS) dan KRM.

“Kami akui insiden itu mencalar imej selaku tuan rumah kejohanan peringkat antarabangsa. Tetapi kita tidak boleh menuding jari pada mana-mana pihak.

“Untuk itu, KRM sedang menjalankan siasatan terperinci menerusi penubuhan jawatankuasa khas untuk mencari punca dan penyebab kepada peristiwa itu.

“Semua pihak akan dipanggil memberi keterangan termasuk penganjur, pemain, pengurus dan jurulatih serta pengadil perlawanan bagi melengkapkan siasatan.

“Cumanya sedikit masalah di pihak Algeria kerana sudah pulang ke negara mereka. Namun kita akan dapatkan juga keterangan dari pihak mereka supaya laporan itu nanti adil dan tidak berat kepada mana-mana pihak.

“Saya percaya perkara ini berpunca daripada masalah komunikasi kedua-dua pasukan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, beberapa pemain ragbi negara dikejarkan ke Hospital Besar Melaka apabila pemain Algeria mengamuk membelasah pemain Malaysia dan penyokong selepas tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil yang didakwa menyebelahi pasukan tuan rumah.

Susulan insiden itu, dua pemain negara Mohd Razmi Rozan patah jari tangan kiri manakala Abu Hurairah Tahir patah gigi.

Mengulas hukuman bakal diterima sekiranya didapati pemain negara yang memulakan insiden itu, Suhaimi berkata, bentuk hukuman akan diserahkan kepada Panel Disiplin KRM mengikut peraturan sedia ada.

“Jawatankuasa akan siasat perkara dengan terperinci dan mencadangkan tindakan yang akan diberikan.

“Sudah banyak pertandingan peringkat antarabangsa kami lalui sebelum ini namun tidak ada sebarang masalah pun, tetapi insiden di Melaka itu beri pengajaran berguna agar kami lebih bersedia pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 10:26 AM