BEN Firdaus gemar bermain dengan cetusan warna dan melahirkan rekaan yang praktikal.
BEN Firdaus gemar bermain dengan cetusan warna dan melahirkan rekaan yang praktikal.
ANTARA hasil kerja Ben Firdaus yang memperlihatkan sisi moden dan praktikaliti.
ANTARA hasil kerja Ben Firdaus yang memperlihatkan sisi moden dan praktikaliti.
BERBINCANG bersama pembantu bagi mendapatkan hasil kerja terbaik.
BERBINCANG bersama pembantu bagi mendapatkan hasil kerja terbaik.
RAMAH dan mudah ketawa, membuatkan personalitinya disenangi ramai.
RAMAH dan mudah ketawa, membuatkan personalitinya disenangi ramai.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Seorang yang mudah ketawa dan bertenaga, keramahan ditunjukkan pereka dalaman, Ben Firdaus Azraai, 30, membuatkan sesiapa saja cepat rasa selesa dengannya, malah suasana berubah lebih ceria dalam sekelip mata.

Begitu keistimewaan personaliti yang dimiliki Ben Firdaus, malah sikapnya yang bersahaja, praktikal dan ceria turut dapat dilihat menerusi hasil kerja kreatifnya sebagai pereka dalaman kediaman pelanggan.

Hasil rekaan dan hiasan dalamannya bukan saja diminati orang kebanyakan, tetapi juga golongan selebriti. Memiliki Diploma Seni Reka Dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan ijazah kelas pertama dalam jurusan Senibina (Dalaman) UiTM, minat mendalam penerima anugerah Naib Canselor ini terhadap susun atur kediaman bercambah sejak usia muda.

Memulakan langkahnya dalam bidang itu, dia menimba pengalaman selama lima tahun sebagai pereka dan perunding warna bersama Nippon Paint Malaysia dan terbabit melakukan lebih 100 projek pengubahsuaian.

Ketika mengambil keputusan menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda pada 2010, ibunya menetapkan supaya Ben Firdaus menampung sendiri pengajiannya. Ia membuatkan lelaki berwawasan ini mula membabitkan diri dalam dunia pekerjaan hiasan dalaman sebagai satu cara menjana pendapatan.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, dia mengambil keputusan untuk bekerja ketika menyambung pengajian memandangkan dia bukan berasal daripada keluarga senang apatah lagi ibunya seorang suri rumah manakala ayahnya ketika itu sudah bersara.

Pengarah dan Pengasas Qarmasutra Interior & Space ini berkata, masa terluang antara kelas digunakan sebaik mungkin untuk bertemu, berbincang dan menyiapkan tugasan menghias kediaman pelanggan.

“Kadang-kala saya terlalu sibuk hingga terpaksa berbincang dengan pensyarah apabila tidak dapat hadir ke kelas, namun saya bersyukur pensyarah memahami dan saya akan merujuk kepadanya ketika membuat ulang kaji pelajaran.

“Memang kehidupan sangat sibuk sampai hari ini. Saya suka bekerja sendiri tetapi itu tidak bermakna saya tidak boleh bekerja dengan orang kerana saya banyak menimba pengalaman dengan syarikat lain dalam bidang sama,” katanya.

Anak kelahiran Sungai Buloh itu juga pernah terbabit dengan beberapa rancangan realiti hiasan dalaman antaranya Nippon Paint Ceria Di Hari Raya (musim pertama dan kedua) dan muncul sebagai pengacara program Casa Impian TV3 (musim pertama dan kedua).

Selain itu, dia juga banyak terbabit dengan projek pengubahsuaian hiasan dalaman dengan televisyen, majalah dan radio antaranya Women’s Weekly Magazine, Peraduan My FM Makeover dan Astro Discovery Channel.

Sentuhan praktikal

Terbabit dalam ratusan projek rekaan dan hiasan dalaman kediaman, hospitaliti dan komersial, dia mampu memberi sentuhan kreatif dan jenama unik kepada majlis korporat, selain majlis pelancaran produk dan gaya yang menepati aspirasi sesuatu jenama.

Membicarakan mengenai konsep rekaan dan hiasan dalaman sentuhannya, Ben Firdaus berkata, dia lebih gemarkan sesuatu rekaan yang bukan sekadar cantik dan menarik, tetapi mempunyai fungsi serta praktikal.

“Saya suka bermain dengan cetusan warna antara lembut dan gelap selain melahirkan hiasan lebih universal seperti gabungan klasik dan moden.

“Setiap rekaan saya juga tidak kira perabot atau susun aturnya mesti bersifat praktikal, misalnya meja yang boleh disimpan di dalam dinding, terutama bagi ruang rumah yang kecil.

“Saya bersyukur sepanjang terbabit dalam hiasan dalam, saya mempunyai ramai pelanggan tetap dan mereka yang amat menghargai hasil kerja saya sehinggakan ada yang ingin membeli perabot baru akan menghubungi saya untuk bertanya sekiranya ia sesuai dengan susun letak yang sudah saya siapkan buat mereka sebelum ini,” katanya.

Lebih menarik, Ben Firdaus juga berbakat dan mempunyai kepakaran dalam bidang perancangan perkahwinan sebagai Perunding Kanan Qarmasutra Weddings & Events, melalui syarikat miliknya.

Katanya, sebaik tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, dia turut menceburkan diri dalam perancangan majlis perkahwinan termasuk dekorasi, pelamin dan hantaran.

“Pembabitan dalam bidang perancangan perkahwinan bermula selepas saya membantu seorang rakan menyusun atur dan menghias bilik tidur, pelamin serta hantarannya.

“Tidak sangka dari situ, kerjaya saya dalam bidang berkenaan berkembang apabila ramai yang bertanya dan berminat mendapatkan perkhidmatan untuk memeriahkan hari bahagia mereka.

“Selain individu, saya juga terbabit dalam tugasan menguruskan hiasan dekorasi untuk syarikat korporat seperti majlis makan malam,” katanya.

Jenama sendiri

Seorang yang bercita-cita tinggi dan bersemangat mencapai potensi diri terbaik, dia juga tidak mengehadkan bakatnya dalam dua bidang berkenaan, sebaliknya turut menghasilkan rekaan baju jenama sendiri, The Gentlemens.

Biarpun sudah ada beberapa orang pembantu, Ben Firdaus tidak betah sekiranya tidak turun sendiri melihat proses kerja dilakukan di rumah pelanggan.

Malah, dia akan terbabit sepenuhnya dalam setiap proses kerja yang dijalankan, sehinggakan ada kalanya pulang lewat malam setiap hari bagi memastikan tugasan dapat disiapkan dan memuaskan hati pelanggan.

“Satu sifat saya adalah terlalu sukar untuk berkata tidak. Jadi bila pelanggan mahukan sesuatu, saya tidak sampai hati untuk menolak, sebaliknya akan berusaha melakukan sebaik mungkin menjadikan ia satu realiti.

“Kadang-kala kita berbincang dengan pelanggan supaya mereka dapat melihatnya daripada sudut pereka dalaman, sehinggakan ada masanya terpaksa menghasilkan model tiga dimensi bagi memastikan pelanggan memahami sepenuhnya rekaan sebelum projek dimulakan,” katanya.

Berpegang kepada falsafah ‘tidak mencuba sesuatu lebih teruk daripada tidak mencuba langsung’, Ben Firdaus memasang impian besar untuk memiliki kedai dan jenama perabot sendiri selain mahu dihormati kerana bakat yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 12:16 PM