NAQIB (tengah) bersama model yang memperagakan koleksi sut sentuhannya.
NAQIB (tengah) bersama model yang memperagakan koleksi sut sentuhannya.
Hafiz Ithnin


PEREKA fesyen muda ini baharu berusia 28 tahun tetapi pesona sentuhannya cukup luar biasa. Barisan pelanggan bukan dalam kalangan rakyat biasa tetapi mencakupi pengurus tertinggi syarikat gergasi, ahli politik selain mula menempa nama dalam kalangan golongan istana.

Mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang teknologi maklumat bukan menjadi penghalang bagi pemilik nama Naqib Ab Rahim membabitkan diri di dalam bidang fesyen. Kunci utamanya adalah usaha dan strategi.

Sesetengah pereka fesyen melihat golongan selebriti amat membantu mereka dalam membina jenama di awal perniagaan tetapi Naqib membina percaturan lain dengan menumpukan kepada segmen korporat terlebih dahulu.

Terbabit secara serius pada 2018 dan membina jenama setahun selepas itu dengan memberi tumpuan kepada sut serta pakaian korporat.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu melihat segmen pakaian itu mungkin kelihatan mudah bagi sesetengah pihak tetapi dari segi teknikal pembuatannya mempunyai cabaran tersendiri.

Naqib berkata, dia mula berminat di dalam industri fesyen sejak kecil lagi bersandarkan pengaruh filem hero segak antarabangsa seperti James Bonds.

"Cita-cita ingin menjadi pereka fesyen menjadi impian saya sejak kecil. Saya gemarkan sesuatu yang nampak kemas dan segak.

"Apabila melanjutkan pengajian saya mengambil bidang teknologi maklumat. Sebenarnya bukan menjadi penghalang tetapi ia mempunyai kesinambungan yang baik di dalam dunia perniagaan fesyen pada hari ini," katanya.

Katanya, sebagai individu yang pernah mempelajari secara formal di dalam bidang teknologi maklumat, dia kini turut membangunkan laman web yang membolehkan pengguna membuat tempahan dan rekaan peribadi hanya di hujung jari sahaja.

"Penangan Covid-19 sebenarnya memberi pedoman kepada pemain industri fesyen seperti saya untuk menggunakan pengalaman di dalam bidang lain untuk terus maju di dalam perniagaan dalam norma baharu.

"Pengguna ketika ini mungkin lebih berhati-hati untuk keluar rumah kerana pandemik ini masih belum ada penghujungnya. Jadi, apabila menempah secara maya, ia bukan sahaja menjimatkan masa tetapi lebih menjamin keselamatan," katanya.

Naqib berkata, segmen fesyen sut dan korporat bukan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihasilkan kerana ia memerlukan pereka fesyen memahami bukan sahaja dari segi teknikal yang membabitkan kekemasan jahitan tetapi protokol pakaian itu sendiri.

Katanya, jika pelanggan membuat tempahan khas dia perlu memastikan pakaian yang ditempah itu sesuai dengan acara yang ingin dihadiri dan personaliti si empunya diri.

"Sut ini adalah pakaian formal yang sudah diketahui umum ia mempunyai etika tersendiri untuk si pemakai. Jadi, sebagai pereka fesyen terutama untuk disarungkan kepada pelanggan lelaki kita kena faham dan perlu membuat kajian sendiri sama ada sut itu sesuai atau tidak untuk dipadankan dalam acara atau diri si pelanggan.

"Memang pada hari ini kata orang fesyen sudah bebas di luar kotak, tetapi di dalam acara formal, ia masih terikat dalam identiti aslinya yang mempunyai protokol tersendiri," katanya.

Katanya, pemakaian sut juga tidak terhalang dalam arena jantina tertentu kerana ia sudah disarungkan secara meluas.

Jelasnya, bagi pemakaian sut dalam kalangan wanita dilihat lebih mudah untuk bermain hiasan yang lebih kreatif berbanding lelaki.

"Jika lelaki kebiasaannya saya akan memberi perincian kepada rekaan dan warna yang lebih nampak serasi dengan si pemakai.

"Berbanding wanita, elemen maskulin dan feminin itu perlu diadunkan dengan baik supaya ia masih nampak kemas dan tidak pelik. Apatah lagi, jika si pemakai ingin menghadiri acara tertentu yang lebih berprotokol," katanya.

Pada tahun lalu, Naqib buat kali pertama mempersembahkan lima busana dalam satu koleksi bersandarkan inspirasi laut dan langit.

Naqib mengakui sudah masanya dia melebarkan pasaran kepada segmen pengguna akhir yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada segmen korporat sahaja.

"Jika sebelum ini, saya membina rangkaian dalam kalangan penempah peribadi dan korporat tetapi pada tahun ini, saya mungkin mula memperkenalkan barisan sedia untuk dipakai (RTW).

"Dalam segmen ini mungkin rekaan sut lebih bersifat kasual memandangkan pengguna pada hari ini sudah bijak mengadunkan antara kasual dan formal dalam pakaian mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:00 AM