ABDULLAH meninjau lokasi kejadian tembakan yang mengakibatkan bekas tentera cedera dalam kejadian di Kampung Bukit Marak. FOTO IHSAN PEMBACA
ABDULLAH meninjau lokasi kejadian tembakan yang mengakibatkan bekas tentera cedera dalam kejadian di Kampung Bukit Marak. FOTO IHSAN PEMBACA
Nor Fazlina Abdul Rahim


SEORANG bekas anggota tentera cedera di bahu kanan dan punggung akibat ditetak serta ditembak di Kampung Bukit Marak, Bachok di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun dikatakan menerima panggilan telefon dari seorang individu yang meminta untuk berjumpa dengannya.

Timbalan Ketua polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata mangsa kemudian bersetuju untuk bertemu dengan individu berkenaan di hadapan rumahnya.

Menurutnya, pada 1 pagi, sebuah kereta Perodua Kelisa yang dinaiki tiga individu berhenti kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.

“Mangsa kemudian keluar menuju ke kereta berkenaan namun salah seorang dari kumpulan suspek keluar sebelum menyerang mangsa dengan pedang dan menetaknya.

“Berlaku pergelutan dan mangsa sempat merampas pedang suspek sebelum seorang lagi suspek melepaskan tujuh das tembakan. Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahu kanan akibat ditetak dan cedera di punggung akibat terkena tembakan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah pedang samurai berukuran satu meter dan peluru saiz 9mm.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berkait dengan hutang dan pihak polis sudah mengenalpasti suspek.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 3:44 PM