FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang lelaki berusia 25 tahun maut manakala sahabatnya patah kaki kanan apabila kereta Proton Wira dinaiki bertembung dengan kereta Peugeot dipandu wanita berusia 40 tahun yang menongkah arus di Lebuh AMJ Bukit Palah, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Mangsa pemandu Proton Wira Husin Nasiri, 25, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan, dipercayai terhentak dan tersepit pada papan pemuka kereta.

Rakan mangsa yang duduk di kerusi penumpang di sebelah kiri pemandu pula patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan Yahya Manan berkata, pemandu wanita turut mengalami cedera ringan, kini dirawat di hospital sama.

"Difahamkan kereta Peugot dipandu wanita berusia 40 tahun menongkah arus datang dari arah Melaka Sentral, sebelum bertembung kereta dipandu mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 2:58 PM