INISIATIF SKMM dapat sokongan tujuh entiti galak orang ramai lupus peranti mudah alih secara selamat.
INISIATIF SKMM dapat sokongan tujuh entiti galak orang ramai lupus peranti mudah alih secara selamat.
Oleh Afiq Hanif

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan tujuh entiti bagi melancarkan program yang dinamakan Mobile e-Waste: Old Phone, New Life atau e-Sisa, Telefon Lama, Hidup Baru.

Tujuh entiti terbabit ialah Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB), Altel Communications Altel, Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, TM dan U Mobile Sdn Bhd.

Program terbabit menggalakkan orang ramai melupuskan peranti mudah alih secara selamat dan mengitar semula gajet tamat tempoh hayat, tidak digunakan atau yang tidak mahu dimilki ke arah memupuk budaya kurangkan, guna dan kitar semula (3R) di Malaysia.

Sebagai permulaan, program ini akan memberi penekanan pada telefon mudah alih yang tamat tempoh hayat sebagai sasaran tunggal e-sisa berdasarkan kepada peningkatan penggunaan telefon bimbit.

Ia antara kesan pemba­ngunan luas industri komunikasi dan multimedia sejak pengenalan jalur lebar mudah alih pada 2009.

Kajian oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat menunjukkan purata jangka hayat sebuah telefon bimbit antara 18 hingga 24 bulan.

Statistik SIRIM QAS pula menyatakan 42 juta telefon bimbit yang berdaftar sebelum 2013.

Sehubungan itu, dianggarkan terdapat lebih 42 juta telefon mudah alih yang boleh dianggap sebagai e-sisa sama ada tersimpan di kediaman atau dibuang di tapak pelupusan sampah.

Namun SKMM menjangkakan angka sebenar jauh lebih besar selepas mengambil kira unit yang dibawa masuk ke negara tanpa rekod sah dan ia memerlukan perhatian setiap sokongan setiap individu di Malaysia.

Melalui program ini, orang ramai boleh melupuskan peranti mudah alih seperti telefon bimbit, telefon pintar, tablet dan phablet termasuk pengecas dan aksesori yang tidak lagi digunakan di 72 kedai telecomunikasi di seluruh negara yang menempatkan sebuah kotak pengumpulan e-Sisa Mudah Alih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 12:33 PM