GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Meskipun masyarakat semakin membuka mata akan kepentingan mengitar semula sisa pepejal seperti kertas dan plastik, namun masih ramai mengambil ringan mengenai pelupusan sisa barangan elektrik dan elektronik (e-sisa) yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan alam sekitar.

Inovasi teknologi terutamanya telefon bimbit berkembang dengan pantas dan ini secara langsung meningkatkan penjanaan e-sisa untuk dilupuskan, malah kajian oleh Japan International Cooperation Agency pada 2015 menganggarkan, penjanaan e-sisa isi rumah di Malaysia bakal mencecah 24.5 juta unit menjelang 2025.

Atas kesedaran tersebut, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyasarkan mengumpul 100 tan metrik sisa e-sisa daripada isi rumah sepanjang tahun ini, menerusi kempen Hari Pengumpulan E-Waste yang akan dilaksanakan pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan, untuk dilupuskan dengan kaedah mesra alam atau environmentally sound management (ESM).

Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar berkata, menerusi kempen yang akan dilancarkan hujung bulan ini, orang ramai boleh menghantar barangan elekrik dan elektronik yang tidak boleh digunakan lagi termasuk telefon bimbit, penyaman udara, mesin basuh dan peti ais, ke 123 pusat pengumpulan dan 21 kemudahan pemerolehan kembali yang berdaftar dengan jabatan tersebut di seluruh negara.

"Namun, memandangkan sekarang ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sarankan orang ramai kumpulkan dulu barangan di rumah. Pusat pengumpulan juga ada menyediakan insentif seperti baucar diskaun pembelian barangan elektrik," katanya kepada Bernama.

Norlin berkata, pengurusan e-sisa secara mesra alam dapat membantu kerajaan mengurangkan beban pelupusan e-sisa sebanyak RM60 juta setahun dan kos kitar semula RM22.8 juta setahun, selain mampu mengurangkan beban pelupusan e-sisa di tapak pelupusan sisa pepejal berjumlah 56,000 tan setahun.

"Dalam e-sisa, masih terdapat logam berharga yang boleh diperoleh kembali dan dapat diguna semula bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber alam yang masih perlu dilombong," katanya.

Norlin berkata, peranan masyarakat penting dalam menjayakan matlamat itu, memandangkan sisa tersebut mengandungi logam berat yang berbahaya kepada kesihatan manusia, antaranya merosakkan sistem saraf pusat, sistem saraf periferi, sistem darah dan buah pinggang, serta membantutkan tumbesaran otak kanak-kanak, sekiranya tidak dilupuskan dengan kaedah yang betul.

Beliau berkata e-sisa yang tidak dilupuskan dengan mesra alam misalnya dibakar, berpotensi mengeluarkan gas berbahaya seperti dioksin dan furan, kerana barangan tersebut mengandungi bahan toksik dan logam berat berbahaya seperti plumbum, raksa, merkuri serta arsenik, yang boleh menjejaskan sistem imunisasi badan dan organ dalaman sekiranya terhidu.

Tambahnya pelupusan e-sisa di tapak pelupusan sisa pepejal, akan menyumbang kepada pencemaran air permukaan dan air tanah, berpunca daripada logam berat yang melarut resap ke dalam tanah, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air berterusan sekiranya tidak dibendung.

Kandungan refrigerant (bahan penyejuk) dalam e-sisa peti ais dan penyaman udara pula, boleh menyebabkan penipisan lapisan ozon sekiranya tidak dilupus dengan baik.

Menjelas lanjut, Norlin berkata JAS dengan bantuan teknikal dari Jepun juga telah membangunkan satu mekanisma pengurusan e-sisa daripada isi rumah, yang mengetengahkan konsep Extended Producer's Responsibility (EPR), yang mana pihak pengeluar perlu bertanggungjawab memastikan pengurusan e-sisa mesra alam selepas tamat jangka hayat produk, seperti yang dilaksana kebanyakan negara maju.

"Kalau dulu pengeluar hanya jual produk dan bagaimana cara nak lupuskan produk itu hanya bergantung kepada pengguna. Kita juga telah mengadakan sesi libat urus bersama pengeluar, pengedar dan semua pihak berkepentingan, bagi mendapatkan kaedah terbaik dalam mencapai situasi menang-menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 12:58 PM