ANTARA adegan dalam Jejak Warriors.
ANTARA adegan dalam Jejak Warriors.
ANTARA adegan dalam Jejak Warriors.
ANTARA adegan dalam Jejak Warriors.
ANTARA adegan dalam Jejak Warriors.
ANTARA adegan dalam Jejak Warriors.
ANTARA adegan dalam Jejak Warriors.
ANTARA adegan dalam Jejak Warriors.
LIMA pemain utama The Red Warriors yang terbabit filem ini.
LIMA pemain utama The Red Warriors yang terbabit filem ini.
PEKIN, Nadiya dan Aliff bersama lima pemain pasukan Kelantan.
PEKIN, Nadiya dan Aliff bersama lima pemain pasukan Kelantan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Elemen semangat, inspirasi, lucu dan sedih bersatu menerusi filem Jejak Warriors arahan Saw Teong Hin yang akan menggegarkan pawagam seluruh tanah air bermula 27 Ogos ini.

Karya menampilkan lima pemain utama pasukan Kelantan iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd Fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria ini sememangnya dinanti peminat setia The Red Warriors.

Meskipun berkisarkan dunia bola sepak, ada cerita disampaikan penulis skrip skripnya Alfie Palermo menerusi watak Wan Raja lakonan Mohd Aliff Firdaus yang menunjukkan lakonan cemerlang.

Filem terbitan U2 Media dan The Red Warriors dengan kerjasama UniKL ini turut dibintangi Pekin Ibrahim, Nadiya Nissa dan Allahyarham Harun Salim Bachik.

Dalam berhibur, penonton pasti berasa sayu menonton aksi Harun dalam filem terakhirnya.

Filem ini memaparkan penceritaan yang ringan dan mudah difahami. Titik fokus diberikan kepada impian Wan Raja yang sanggup bersusah payah demi bertemu pasukan The Red Warriors yang menjadi pujaannya.

Selain itu dia mahu menunaikan hajat arwah bapanya yang juga penyokong nombor satu pasukan Kelantan yang tidak kesampaian.

Namun selepas berlaku satu peristiwa, bapanya tidak lagi menyokong bola sepak dan melarang Wan Raja terbabit dengan sukan itu.

Ditemui pada sesi pratonton, baru-baru ini, Teong Hin berkata, dia bersetuju mengarahkan filem ini kerana tertarik dengan idea yang ditampilkan.

“Walaupun saya bukan peminat tegar bola sepak, saya mahu mengarah filem ini kerana pengikut setia sukan ini kuat pengaruhnya. Kita boleh jadi kawan apabila meminati pasukan yang sama.

“Biasanya filem bola sepak lebih tertumpu pada kisah individu atau pasukan yang mahu mencari kemenangan, tetapi Jejak Warriors meniup inspirasi untuk mencari cabaran dalam hidup,” katanya.

Menurutnya, penghasilan filem ini ada cabaran tersendiri terutama cuaca tidak menentu dan kekangan masa.

“Filem ini berkonsep road movie di mana penggambaran di buat di Johor, Pulau Pinang dan Kelantan. Masa yang diberikan pun pendek apatah lagi dibuat pada bulan puasa.

“Lakonan tidak jadi masalah kerana pemain bola sepak yang beraksi dalam filem ini perlu jadi diri sendiri. Mereka hanya perlu diberikan sedikit panduan sebelum penggambaran.

“Saya berdepan kesukaran merakam perlawanan sebenar membabitkan Kelantan dengan Johor DT. Lega kerana ia berjalan dengan baik,” katanya.

Lucu lihat lakonan sendiri

Sementara itu, lima bintang bola sepak yang menjayakan Jejak Warriors mengakui berasa lucu melihat lakonan sendiri.

Menurut Khairul Fahmi atau Apek, berlakon pengalaman baru buat mereka dan masing-masing kekok setiap kali beraksi depan kamera.

“Memang susah kerana kami bukan pelakon. Bagaimanapun, saya mungkin akan mempertimbangkan tawaran berlakon sekiranya boleh jadi diri sendiri dan filem berkaitan bola sepak.

“Setakat ini keutamaan saya hanya bola sepak. Penggambaran ini dibuat ketika liga sedang berehat.

“Pemain lain boleh bercuti ketika itu tetapi kami terpaksa mengadap kamera. Sukar dijelaskan perasaan saya sepanjang penggambaran, bercampur baur jadinya,” katanya.

Sambungnya lagi, komitmen ini menuntut kesabaran tinggi apabila setiap babak mengambil masa lama untuk disiapkan.

“Saya setuju berlakon kerana filem ini terbitan majikan saya. Ia mengisahkan jatuh bangun pasukan Kelantan selain memberi gambaran sebenar dan inspirasi dunia bola sepak,” katanya.

Diajukan persoalan tayangan filem ini yang mungkin tidak selari dengan prestasi semasa pasukan Kelantan dalam persaingan Liga Super, Apek menegaskan itu lumrah bola sepak.

“Saya tidak kecewa filem ini ditayangkan di pawagam bermula Khamis ini kerana tarikhnya sudah ditetapkan dari awal. Takkan nak ditangguhkan pula.

“Saya kenal penyokong Kelantan. Menang atau kalah mereka tetap akan sokong. Mereka turut beli cenderamata serta produk lain dan sudah tentu filem ini akan dapat sambutan.

“Kami turut mengadakan ‘Movie Day Out’ filem ini bersama peminat di Kelantan dan beberapa lokasi lain yang sudah dirancang sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 10:44 AM