Wan Abdul Rahim (kanan) berharap kes tunggakan gaji Apek dapat diselesaikan. FOTO NSTP
Wan Abdul Rahim (kanan) berharap kes tunggakan gaji Apek dapat diselesaikan. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) berharap dapat menyelesaikan tunggakan gaji bekas penjaga gol skuad terbabit, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dalam tempoh terdekat.

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata isu terbabit akan dibincangkan dengan serius dalam mesyuarat majlis badan bola sepak berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan tunggakan pemain Melaka United (MU) itu.

Menurutnya, selain tunggakan gaji Apek, isu gaji semasa pasukan Kelantan yang mencecah dua bulan setengah akan turut diusahakan untuk diselesaikan.

Katanya, sebaik mengambil alih jawatan presiden KAFA dia menerima laporan berkaitan masalah yang dihadapi persatuan serta perkembangan pasukan yang berada di zon bahaya penyingkiran Liga Perdana.

"Malah terdapat juga berkaitan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain sesetengah isu yang dibawa ke mahkamah yang perlu diselesaikan.

"Saya turut meneliti pendekatan positif memastikan semua perkara dapat menemui kaedah penyelesaian terbaik.

Malah saya menerima pandangan daripada bekas presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ahmad Jaslan Yaakub yang juga dalam jawatankuasa majlis penasihat KAFA," katanya.

Beliau berkata selepas menyaksikan perlawanan membabitkan The Red Warriors bertemu PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Rahim berkata, KAFA tidak akan melarikan diri dengan pelbagai isu yang terpalit dan akan bertanggungjawab walaupun beliau baharu mengambil alih tampuk kepemimpinan persatuan itu.

Baginya, kehadirannya dalam KAFA adalah untuk bersama-sama mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan yang pernah dikecapi sebelum ini.

Wan Abdul Rahim, bekas pemain Piala Rahman Kelantan 1970 dan pemain Universiti Pertanian Malaysia (UPM) mengakui amat meminati sukan berkenaan, sehingga mendorong dia aktif dalam persatuan itu kali ini.

Apapun baginya, tidak banyak dapat dilakukan pada penghujung saingan membabitkan skuad itu pada masa ini, cuma mahu memastikan skuad terbabit kekal di Liga Perdana.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, badan induk bola sepak negeri itu berdepan tuntutan gaji oleh empat bekas pemain bernilai lebih RM300,000.

Mereka ialah Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak, Norhafiz Zamani Misbah serta terbaru membabitkan Apek.

Sementara itu, dia berpuas hati dengan perkembangan pasukan yang bermain dengan baik sejak beberapa aksi sebelum ini termasuk menewaskan Selangor United.

Katanya, cuma aksi tidak bernasib baik selepas skuad berkenaan tewas 1-3 kepada The Cops pada aksi malam tadi walaupun berjaya memberi saingan kepada lawan pada babak pertama perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 3:40 PM