PEMAIN Marseille meraikan jaringan  ketika menentang Montpellier. FOTO AFP
PEMAIN Marseille meraikan jaringan ketika menentang Montpellier. FOTO AFP
AFP

Paris: Marseille bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menang 3-2 di Montpellier dalam aksi pembukaan Ligue 1 dalam perlawanan yang dicemari dengan insiden balingan botol oleh penonton awal pagi tadi.

Perlawanan di Stade Mosson terhenti pada minit ke-89 selepas pemain gantian Marseille, Valentin Rongier terkena botol di kepalanya.

Pemain Montpellier, Florent Mollet turut menjadi sasaran ketika dia bersiap sedia mengambil sepakan sudut.

Pengadil, Jeremie Pignard mengarahkan kedua-dua pasukan meninggalkan padang ketika penonton diminta bertenang dan perlawanan dimulakan semula selepas 10 minit tertangguh.

"Amat malang kerana insiden ini menjejaskan semua orang. Pengadil melakukan apa yang patut dibuat. Kami kecewa melihat situasi seperti ini,'' kata jurulatih Montpellier, Olivier Dall'Oglio.

Aksi berlangsung di hadapan 13,500 penonton pada minggu pertama musim baharu selepas tujuh bulan perlawanan dalam stadium kosong susulan pandemik.

Jaringan sendiri Luan Perez dan rembatan Gaetan Laborde membolehkan Montpellier mendahului 2-0 pada babak pertama.

Tetapi Cengiz Under merapatkan kedudukan buat Marseille pada minit k-67 sebelum dua gol dalam masa lima minit oleh Dimitri Payet melengkapkan kebangkitan pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 8:33 AM