MENGGARU
MENGGARU
Prof Madya Dr Adawiyah Jamil (Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan) dan Prof Madya Dr M Leelavathi (Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga) Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia


MUNGKIN ramai pernah mendengar atau mengalami penyakit kulit yang dikenali sebagai ekzema.

Ekzema atau dermatitis ialah sejenis penyakit radang kulit yang sangat lazim ditemui dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa.

Penyakit ekzema berkait rapat dengan faktor genetik dan kerap berlaku dalam kalangan ahli keluarga yang sama.

Faktor genetik menyebabkan kulit mengalami kerosakan, tindak balas sistem keimunan yang berbeza, seterusnya menyebabkan kulit hilang fungsi sebagai pelindung, berlaku alahan dan rengsa.

Tanda ekzema pada kulit agak berbeza bergantung kepada jenis ekzema.

Kawasan kulit yang terjejas juga berbeza mengikut jenis ekzema.

Antara sifat utama penyakit ini ialah menyebabkan kulit berasa sangat gatal dan merah.

Ruam berbiji atau berair mungkin dialami pada bahagian muka, kulit yang berlipat seperti leher, depan siku dan pelipat lutut.

Kulit juga akan kelihatan kering. Masalah ini biasanya akan berkurangan dengan rawatan.

Episod ini akan berulangan atau kekal untuk jangka masa yang lama apabila ekzema berada pada peringkat serius.

Secara umumnya, ekzema terbahagi kepada tiga jenis.

Pertama, berpunca daripada faktor genetik dan tiada kaitan dengan alahan (contoh, ekzema atopi /dermatitis atopi) yang ekzema sendiri adalah sejenis penyakit.

Ekzema atopi atau 'infantile eczema' dan 'seborrheic eczema' ialah jenis ekzema yang paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Kedua, ekzema berpunca daripada alahan sama ada makanan atau sentuhan dengan sesuatu bahan yang menyebabkan ruam. Contoh, minyak wangi atau sabun (dermatitis alergi).

Ekzema ketiga pula berpunca daripada gabungan jenis ekzema pertama dan kedua.

Jenis ekzema seperti, 'seborrheic eczema', 'hand and feet eczema' dan 'stasis eczema' lebih kerap berlaku dalam kalangan dewasa.

'Steatotic eczema' dan 'stasis eczema' pula lebih kerap berlaku dalam kalangan warga tua.

Punca ekzema

Ekzema berpunca daripada gabungan pelbagai faktor seperti faktor asas dan faktor pencetus.

Faktor asas ialah faktor yang tidak boleh dielakkan seperti genetik atau keturunan.

Faktor genetik dapat menjelaskan mengapa ekzema hanya dialami oleh segelintir individu dan bukan kesemuanya.

Kulit terdiri daripada tiga lapisan

Lapisan paling atas boleh diibaratkan seperti dinding yang melindungi keseluruhan badan.

Punca genetik menyebabkan lapisan ini hilang daya pelindung dan memberi peluang kepada organisme serta bahan kimia dari luar untuk menembusinya. Ini adalah titik permulaan kepada ekzema.

Sistem keimunan pesakit ekzema juga bertindak balas secara berbeza. Ini tidak bermaksud sistem ini lemah, tidak aktif atau terlalu aktif.

Ia masih normal, tetapi bertindak secara berlainan daripada biasa terhadap rangsangan unsur dari luar dan dalam badan.

Terdapat juga penyakit lain yang berhubung kait secara genetik dengan penyakit ekzema. Antaranya:

i. Resdung (allergic rhinitis) iaitu kerap bersin dan hidung berair sewaktu sejuk atau berhabuk serta hidung gatal

ii. 'Allergic conjunctivitis' iaitu mata merah, berair dan gatal terutama apabila terdedah kepada habuk

iii. Gegata (urticaria)

iv. Lelah atau asma

Jika mempunyai ahli keluarga (ibu bapa atau adik-beradik) menghidap satu daripada penyakit ini, kemungkinan ahli keluarga yang lain juga boleh mendapat ekzema atau mana-mana penyakit lain berkait secara genetik.

Kerap kali, ekzema yang tidak serius mungkin tidak akan disedari kerana impaknya ringan.

Contoh manifestasi ekzema ringan adalah seperti kelemumur, tumit merekah, bibir kering, tompokan kulit kering pada kaki dan tangan serta kulit sensitif seperti gigitan nyamuk mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Pencetus ekzema pula ialah faktor yang menyebabkan sesuatu episod ekzema itu timbul atau menjadi aktif.

Faktor pencetus ekzema lazimnya membabitkan persekitaran dan dapat dielakkan

1. Rengsa seperti cuaca panas dan berpeluh atau cuaca sejuk dan kering (penggunaan pendingin hawa berpanjangan, fabrik pakaian kasar atau sabun mengandungi bahan pencuci yang kuat).

2. Tekanan daripada segi mental atau fizikal juga boleh mencetuskan ekzema.

3. Alahan seperti hama habuk bulu daripada haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan debunga.

4. Kuman 'staphylococcus' pada kulit boleh mencetus ekzema. Bakteria ini dapat menembusi lapisan dinding kulit yang hilang daya pelindung dan menyebabkan kerosakan. Kulit ekzema juga lebih mudah terjangkit dengan virus.

5. Ekzema menyebabkan kulit menjadi gatal. Tindakan menggaru kulit mengakibatkan penghasilan 'histamine' dalam badan yang menjadikan individu merasa lebih gatal.

Menggaru juga boleh mengakibatkan kulit melecet yang memberi peluang kepada kuman menembusi kulit dan menyebabkan jangkitan.

Makanan jarang menjadi penyebab ekzema. Sekiranya makanan adalah pencetus kepada penyakit itu, keadaan kulit akan menjadi lebih teruk secara tiba-tiba (dalam masa 24 hingga 48 jam) selepas makan makanan berkenaan.

EKZEMA di kaki.
EKZEMA di kaki.

Ekzema yang berpunca daripada alahan boleh sembuh sepenuhnya jika punca alahan dapat di kenal pasti dan dielakkan.

Ekzema yang tidak berkaitan dengan alahan dan berpunca daripada faktor genetik tidak boleh sembuh sepenuhnya.

Bagaimanapun, ia dapat dikawal hingga ke tahap minimum dengan mengurangkan kekerapan berulang dan meningkatkan tempoh masa di antara sesuatu episod.

Ujian untuk mengenal pasti penyakit ekzema

Ujian makmal seperti ujian darah tidak diperlukan untuk mengenal pasti penyakit ekzema.

Pengesahan boleh dibuat oleh doktor secara klinikal berdasarkan sejarah penyakit dan dengan melihat serta memeriksa keadaan kulit.

Sekiranya pesakit disyaki turut mengalami alahan kepada bahan yang disapu atau tersentuh dengan kulit, ujian kulit 'patch test' boleh dilakukan untuk mengenal pasti bahan berkenaan.

Ujian tambahan bagi alahan makanan boleh dilakukan sekirannya pesakit disyaki mengalami alahan makanan dengan ujian 'skin prick t

est' atau ujian darah.

Namun, bukan semua jenis makanan dapat diuji dengan cara ini dan ujian ini juga tidak dapat memberi keputusan yang 100 peratus tepat.

Ia hanya boleh digunakan sebagai panduan untuk mengenal pasti makanan yang mungkin menyebabkan alahan dan perlu dielakkan.

Sekiranya sesuatu makanan itu menyebabkan alahan, keadaan kulit akan menjadi lebih teruk (bertambah gatal dan ada ruam baharu) dalam masa 24 ke 48 jam selepas makanan ini dimakan.

Rawatan untuk ekzema

Rawatan yang paling penting untuk ekzema ialah penjagaan asas kulit. Sabun dan pelembab yang sesuai perlu sentiasa digunakan.

Ubat sapu khas untuk ekzema dan ubat yang dimakan hendaklah berdasarkan nasihat doktor.

Pesakit ekzema perlu sentiasa berhati-hati dalam memilih produk kebersihan dan kecantikan kerana mungkin mengandungi bahan yang dapat mencetus ekzema.

Sabun yang sesuai untuk penyakit ekzema ialah sabun khas tidak mengandungi kandungan bahan pencuci kuat, tidak menghasilkan banyak buih dan tidak mengeringkan kulit.

Sabun yang mengandungi lye (sodium hydrochloride, potassium hydroxide, sodium lauryl sulphate), bahan antibakteria dan wangian perlu dielakkan.

Sabun tidak dapat merawat ekzema yang aktif, tetapi sabun sesuai dapat membantu mengekalkan kelembapan pada kulit dan seterusnya memelihara lapisan pelindung kulit.

Penggunaan pelembab ialah langkah paling penting untuk mengawal penyakit ekzema kerana kebanyakan pesakit mempunyai kulit kering.

'Glycerol' atau 'glycerine' dan 'urea' adalah kandungan pelembab yang baik.

Bahan lain yang juga berkesan ialah 'petrolatum', 'paraffin', 'propylene glycol', 'ceramide', 'cholesterol' dan minyak mineral atau minyak sayuran (kelapa atau zaiton).

Penggunaan pelembab secara konsisten dan berterusan dapat mengurangkan kekerapan letusan ekzema serta penggunaan ubat sapu steroid dan ubat ekzema yang lain.

Ubat sapu steroid ialah ubat yang paling kerap disarankan oleh doktor.

Ia berkesan untuk merawat setiap peringkat ekzema.

Terdapat pelbagai jenis ubat sapu steroid dengan kekuatan berbeza.

Ubat sapu steroid perlu digunakan secara betul untuk mendapatkan kesan yang terbaik.

Pemilihan jenis steroid yang tidak sesuai atau penyalahgunaannya boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini.

Cara penggunaan yang salah juga boleh menyumbang kepada masalah kebergantungan kepada steroid.

Ubat sapu 'calcineurin inhibitor' (TCI) dan 'crisaborole' ialah ubatan yang lebih baharu dan tidak mengandungi steroid.

Kesan sampingan adalah seperti rasa pedih dan sakit boleh menghadkan penggunaan ubat ini, di samping kosnya yang tinggi.

Selain ubat sapu, ubat 'antihistamine' (ubat makan) dapat membantu untuk mengurangkan rasa gatal dan memberi keselesaan kepada pesakit.

Balutan basah ialah rawatan intensif untuk ekzema tahap sederhana dan serius.

Ia dapat membantu ubat sapu diserap dengan lebih baik ke dalam kulit serta mengelakkan kulit daripada digaru.

Mandian antiseptik dua hingga tiga kali seminggu dapat mengawal kandungan kuman pada permukaan kulit.

Ekzema tahap serius mungkin memerlukan rawatan tambahan seperti ubat makan 'prednisolone', 'cyclosporin', 'azathioprine' dan 'methotrexate'.

Prednisolone adalah sejenis ubat steroid. Ubat ini bertindak dengan mengawal ekzema melalui kesannya kepada sistem keimunan.

Semua ubat ini mempunyai pelbagai kesan sampingan yang perlu dipantau oleh doktor berkelayakan dan berpengalaman.

Keputusan untuk menggunakan ubat ini memerlukan pertimbangan berdasarkan faedah dan kesan sampingannya.

Rawatan seperti fototerapi juga boleh digunakan untuk pesakit ekzema yang tidak menunjukkan tindak balas yang optimum dengan rawata

n lain.

Rawatan ini sesuai untuk ekzema tahap sederhana atau serius. Rawatan fototerapi menggunakan kaedah pendedahan kulit pada sinaran Ultraviolet A (UVA) atau B (UVB) daripada mesin khas sebanyak dua atau tiga kali seminggu untuk jangka masa tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 6:50 AM