Lin (tengah) bergambar bersama model yang menggayakan barang kemas, semalam.
Lin (tengah) bergambar bersama model yang menggayakan barang kemas, semalam.

Kuala Lumpur: Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia (MIJF) 2015 dijangka menarik 10,000 pelawat sepanjang pameran berlangsung dengan transaksi dagangan antara RM10 juta hingga RM12 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn Bhd, Johnson Lim berkata, pameran edisi ke-12 itu diadakan secara sederhana berbanding tahun lalu berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Beliau berkata, pada MIJF 2014, pihaknya menyasarkan transaksi dagangan sekali ganda iaitu sehingga RM25 juta.

Katanya, pameran kali ini menampilkan lebih 200 rekaan barang kemas terkini dari 14 negara di seluruh dunia serta menghimpunkan golongan elit yang mempunyai kepakaran dalam barang kemas.

“Kami turut menganjurkan pertandingan rekaan barang kemas sebagai platform menyediakan ruang kreativiti dan inovasi kepada pereka barang kemas generasi muda,” katanya selepas perasmian MIJF 2015 di sini, semalam.

MIJF 2015 berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan menjadi platform yang memainkan peranan penting dalam usaha menjayakan organisasi barangan kemas dari 10 negara Asean.

Beliau berkata, Persidangan Presiden Asean Batu Permata dan Barang Kemas edisi ke-4 bakal menjadi kemuncak MIJF 2015.

Antaranya ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam serta enam negara perdagangan strategik dari India, China, Korea dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:02 AM