WAKIL Sky Creation Design Sdn Bhd, Astley Ng  pada majlis perasmian Homedec 2014, semalam.
WAKIL Sky Creation Design Sdn Bhd, Astley Ng pada majlis perasmian Homedec 2014, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

.

Kuala Lumpur: Pameran Hiasan dan Rekaan Rumah (Homedec 2014), yakin dapat mencatatkan transaksi jualan RM150 juta sepanjang program berlangsung berbanding RM140 juta yang direkodkan tahun lalu.

Presiden CIS Network Sdn Bhd dan penganjur Homedec, Datuk Vincent Lim berkata, pihaknya menjangkakan produk dapur dan bilik mandi menjadi penyumbang terbesar kepada transaksi jualan kali ini berikutan 30 peratus daripada pembeli membelanjakan wang mereka untuk pengubahsuaian dua ruang terbabit.

Beliau berkata, terdapat 1,600 ruang pameran membabitkan penyertaan 500 syarikat dan pihaknya menyasarkan 150,000 pengunjung iaitu peningkatan enam peratus berbanding tahun lalu.

"Pameran dekorasi dan kediaman yang beranugerah ini dibuka bermula semalam hingga Ahad ini bagi bahagian 1 bertemakan (Rekaan+Ubahsuai) manakala bahagian ke-2 (kelengkapan+hiasan) termasuk hiasan dalaman dari 30 Oktober sehingga 2 November ini.

"Homedec bakal memberikan Anugerah Kualiti dan Rekaan Terbaik kepada produk dan servis terpilih. Selain itu, kami menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung," katanya pada sidang media selepas merasmikan Homedec 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, syarikat juga mempunyai perancangan untuk melancarkan ekspo Homedec di luar negara iaitu Jakarta, Indonesia pada separuh kedua 2015 dan akan membawa jenama tempatan ke Indonesia, sekali gus menjadikannya sebagai platform untuk syarikat tempatan mempamerkan produk mereka.

Sementara itu, pembaca Harian Metro berpeluang menyertai peraduan Rekaan Kegemaran 'The Rooms' yang menawarkan hadiah bernilai RM30,000.

Peserta perlu mendapatkan borang penyertaan daripada akhbar Harian Metro keluaran 18, 20, 23, 25, 28, 30 Oktober dan 1 November ini. Senarai hadiah boleh didapati daripada laman web www.homedec.com.my.

Homedec adalah pameran terkemuka dalam industri kediaman dan dilihat sebagai peneraju pameran ubah suai, hiasan dan kelengkapan serta pencetus trend gaya hidup terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:02 AM