Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Pameran jam tangan dan barang kemas eksklusif, A Journey Through Time Vll , berlangsung meriah di pusat beli-belah terkemuka Starhill Gallery di ibu negara, baru-baru ini.

Acara khas untuk peminat jam tangan dan barang kemas jenama terkemuka itu dianjurkan pusat beli-belah berkenaan dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Ia dianggap sebagai pembuka tirai kepada acara yang ditunggu-tunggu peminat jam seluruh dunia, Baselworld 2015.

Pameran berkenaan menampilkan lebih 125 jenama mewah dan diadakan selama lapan hari berakhir 28 November lalu.

Pengunjung yang hadir pada pameran berkenaan nyata terpukau dengan koleksi persendirian dan rekaan edisi pertama yang jarang dilihat di pasaran sebelum ini.

Selain jenama sedia ada, beberapa label seperti HYT, Lilla Rio, MOISEIKIN, Carlo Barberis dan Gem Palace turut membuat penampilan pertama kali di Malaysia.

Menurut Naib Presiden YTL Land & Development Bhd dan YTL Hotels & Properties Joseph Yeoh, pameran kali ini membawakan paling banyak pilihan kerana pihaknya mahu menganjurkan acara yang menjadi pengalaman paling sukar dilupakan.

"Pameran ini menghimpunkan koleksi jam tangan dan barang kemas mewah paling eksklusif dengan penyertaan pereka, pembuat serta ahli pertukangan halus daripada gedung termasyhur dunia," katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Datuk Azizan Noordin .

Pengunjung pameran juga dapat menyaksikan koleksi eksklusif daripada jenama jam tangan terkenal antarabangsa seperti Bedat & Co, Cecil Purnell, Dior, HermËs, Omega, Hublot, Ulysse Nardin, Breguet, MaÓtres du Temps serta Khronos.

Lebih istimewa, jenama Jaeger-LeCoultre turut membawakan 12 jam tangan eksklusif yang setiap satu bernilai RM1.25 juta untuk tontonan umum.

Jenama barang kemas tersohor Damiani turut mempamerkan beberapa barang kemas yang memenangi Anugerah Berlian Antarabangsa bersama label eksklusif lain seperti Gubelin, Carrera y Carrera, Ceres dan Garrard.

Pameran kali ini turut memberi pengalaman menakjubkan kepada pengunjung kerana berpeluang melihat sendiri koleksi istimewa jenama termasyhur Maurice Lacroix.

Jenama itu membawakan Masterpiece Gravity iaitu salah satu daripada jam tangan pertama yang keseluruhannya diperbuat daripada silikon dan koleksi FC Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM