ANTARA babak dalam filem Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.
ANTARA babak dalam filem Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.
Oleh Nor Akmar Samudin

‘Sejarah Tidak Pernah Mati’ menjadi intipati naratif filem Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium. Menerusi elemen komedi, saspens, seram dan kons­pirasi, filem ini cuba memaparkan dimensi baru dalam sudut penceritaan.

Bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 3 September ini, filem ini diterbitkan Mountingboard Productions Sdn Bhd dan D Siney Production manakala Pencil Pictures & Records Sdn Bhd bertindak selaku pengedar.

Menurut Usop yang juga penerbit dan penulis skrip filem ini, dia terpanggil mengetengahkan genre sejarah selepas melihat generasi muda kurang berminat menyelongkar khazanah penting negara yang diabadikan dalam muzium.

“Segala sejarah yang sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat terbiar begitu saja.

“Masyarakat hari ini tidak lagi meletakkan muzium sebagai lokasi wajib kunjung dan sayang sekali apabila mereka tidak dapat belajar sesuatu daripada sejarah silam,” katanya.

Walaupun berteraskan komedi, Usop menitikberatkan ketepatan fakta sejarah dan memilih sendiri barisan pelakon, pengarah dan kru.

Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium menampil­kan Usop Wilcha selaku pelakon utama dan dibantu Elizabeth Tan, Nasir Bilal Khan, Namron, Hitler Zami, Along Ezzendy dan Farah Dhiya.

Penampilan pelakon berpengalaman seperti Pyan Habib, Kamarul Yusoff dan Man Kadir menambahkan lagi kelucuan penceritaan.

Filem arahan Mamat Khalid yang menelan belanja RM2 juta itu menjalani penggambaran sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Tanjung Malim, Perak.

Ia mengisahkan keadaan muzium yang menyimpan banyak khazanah berharga namun tidak dihargai masyarakat.

Apabila sambutan semakin berkurangan, pihak pengurusan muzium berkenaan merancang mengadakan pameran ‘Hantu Hantu Dunia’.

Diluar pengetahuan pengurusan muzium, penganjur pameran iaitu sekumpulan pengamal ilmu hitam berasal dari Romania ingin menghidupkan semula Raja Drakula iaitu Vlad The Impaler. Bagi memenuhi hasrat itu, mereka menganjurkan pameran berkenaan di setiap benua.

Mengikut kepercayaan kumpulan ini, Dracula dapat dihidupkan apabila mendapat darah segar manusia dari setiap benua. Muzium itu adalah lokasi terakhir yang mewakili benua Asia.

Tanpa diduga ada beberapa tokoh daripada tiga era ‘hidup’ dalam muzium berkenaan. Semua tokoh ini dapat menghidu niat buruk penganjur pameran dan berusaha menyelamatkan keadaan.

Bagi mengetahui apa yang bakal berlaku kepada khazanah berharga itu, jangan ketinggalan menonton Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium pada 3 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 12:10 PM