Putrajaya: Seorang jururawat di Institut Kanser Negara (IKN) bersama rakannya maut selepas kereta dipandunya kemalangan di Jalan Kajang Puchong berhampiran Persiaran Selatan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, Nurul Filzah Madzlan, 26, dan Saidah Sulaiman, 34, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi rakan mereka, Mohamad Amin Abdul Wahab, 26, agak parah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan, berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta yang dipandu Nurul Filzah hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang lampu di atas pemisah jalan.

“Akibat itu, mangsa dan Saidah yang berada di tempat duduk belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohamad Amin yang berada di sebelah pemandu patah di peha,” katanya.

Rosly berkata, jalan di lokasi kejadian adalah lurus dan kering serta keadaan cuaca baik.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat manakala mangsa yang terselamat diberi rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987.

Ayah Nurul Filzah yang hanya mahu dikenali sebagai Madzlan berkata kali terakhir dia bertemu anaknya itu adalah ketika arwah pulang beraya di kampung pada sambutan Aidilfitri lalu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 6:12 PM