PESERTA bergambar selepas berpenat lelah berakit.
PESERTA bergambar selepas berpenat lelah berakit.
Teks dan gambar Zul Ikhwan Muhammad


Merebut hadiah wang tunai yang ditawarkan bukan matlamat utama kerana lebih daripada itu Fiesta Rakit Cabaran Sungai Teriang, Endau, Mersing, adalah acara tahunan peringkat daerah sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor.

Ia menjadi tarikan serta tumpuan penduduk sekitar kerana tradisi itu dikatakan sudah hampir pupus.

Malah, pertandingan yang disertai penduduk kampung serta agensi kerajaan dapat menjalinkan hubungan silaturahim segenap lapisan masyarakat dengan pelbagai agensi yang turut terbabit.

Dalam pertandingan yang dirasmikan Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing (MDM) Jamil Hasnil Abdullah, pasukan Kampung Teriang Kecil muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, manakala tempat kedua dimenangi pasukan Kem Khidmat Negara (RM300) dan pasukan Mamba memenangi tempat ketiga (RM200).

Jamil berkata, selain pertandingan rakit, pelbagai permainan sukan rakyat turut diadakan bagi memeriahkan sambutan tahunan yang menarik minat ramai pengunjung dari seluruh daerah.

“Kami merancang menjadikan pertandingan berakit di Sungai Teriang sebagai tarikan utama penduduk sekitar kerana aktiviti ini makin dilupai masyarakat berikutan kemajuan pe­ngangkutan air pada masa kini.

“Lebih penting aktiviti berkenaan dapat menjalinkan hubungan dan suasana mesra antara penduduk kampung dengan agensi kerajaan yang turut terbabit secara langsung dalam pengurusan acara mahupun sebagai peserta,” katanya

Peserta, Hishamudin Abdul Rahim, 18, berkata, acara berkenaan meriah apabila disaksikan ramai penduduk kampung.

“Jika program ini diadakan pada cuti hujung minggu, sudah tentu ia lebih meriah dan mendapat sambutan lebih baik.

“Pada masa sama acara ini mampu menghimpunkan golongan remaja untuk bersama penduduk dan kakitangan agensi kerajaan untuk menyertai aktiviti riadah dan santai sambal menjalinkan hubungan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:00 AM