BOMBA memeriksa lokasi sekitar letupan, semalam.
BOMBA memeriksa lokasi sekitar letupan, semalam.
AP

Tianjin: Pihak berkuasa menarik keluar lebih banyak mayat dari kawasan dua letupan besar di Pelabuhan Tianjin, meningkatkan jumlah kematian kepada 112 semalam.

Pada masa sama, kumpulan pakar berusaha membersihkan kawasan berkenaan daripada pencemaran toksik berbahaya.

Ratusan orang cedera dan 85 anggota bomba dan 10 orang awam masih dilapor hilang sejak kebakaran yang disusuli dua letupan kuat lewat Rabu lalu di gudang yang menyimpan bahan kimia berbahaya di kawasan perindustrian Tianjing, 120 kilometer ke timur Beijing.

Beberapa letupan kecil dilapor berlaku di kawasan itu sehingga semalam.

Sementara itu, keluarga anggota bomba yang hilang menyerbu satu sidang media kerajaan kelmarin, mendesak pihak berkuasa memberi maklumat mengenai nasib orang kesayangan mereka.

Sekurang-kurangnya 21 anggota bomba antara yang terbunuh, paling ramai bagi pasukan itu dalam satu kejadian, sejak enam tahun.

Dua media tempatan, The Paper dan Southern Metropolis melaporkan, gudang berkenaan menyimpan 700 tan sodium sianida, 70 kali lebih banyak daripada yang dibenarkan.

Bahan berkenaan ialah toksik yang boleh berubah menjadi gas mudah terbakar sekiranya terkena air.

Pihak berkuasa juga mengesan toksik hidrogen sianida di udara di dua lokasi berhampiran.

Bencana itu menimbulkan persoalan sama ada bahan kimia berbahaya itu disimpan terlalu dekat dengan kawasan kediaman dan tindakan menghantar anggota bomba dibuat secara terburu-buru.

Pihak berkuasa melarang penduduk, wartawan dan yang tidak terbabit dalam operasi menyelamat memasuki kawasan tiga kilometer dari tempat kejadian, dipercayai untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada sodium sianida.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 12:10 PM