Suasana di sebuah bank di Bahau yang pintunya tertutup kira-kira 30 minit, petang tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Suasana di sebuah bank di Bahau yang pintunya tertutup kira-kira 30 minit, petang tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Orang ramai yang berurusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Bahau, di sini cemas seketika apabila pintu masuk premis berkenaan tertutup kira-kira 30 minit, petang tadi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Ramelan Ribut berkata, kejadian pada 1.15 petang itu menyebabkan individu yang berada dalam premis tidak dapat keluar.

Katanya, sewaktu kejadian terdapat tujuh mangsa iaitu tiga lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 30-an beserta dua budak berusia 10 dan 12 tahun.

"Pihak kami (bomba) menerima panggilan kecemasan pada 1.19 petang sebelum lapan anggota ke lokasi dan tiba seminit kemudian.

"Sebaik tiba, mangsa didapati dalam keadaan terkawal ekoran menerima pengudaraan yang baik biarpun pintu tertutup," katanya.

Menurutnya, kerja membuka pintu premis tidak bersabit tugas anggota bomba menyebabkan panggilan dibuat kepada pihak bank.

"Beberapa kakitangan bank yang tiba 10 minit kemudian menjalankan kerja membuka pintu dan berjaya berbuat demikian pada jam 1.45 petang," katanya.

Orang ramai terperangkap dalam sebuah bank di Bahau, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 4:22 PM