ANGGOTA bomba dan polis cuba menenangkan mangsa yang terperangkap antara dua pintu kaca dan pintu keselamatan sebuah bank di Selayang Jaya, awal pagi semalam. -Foto IHSAN PEMBACA
ANGGOTA bomba dan polis cuba menenangkan mangsa yang terperangkap antara dua pintu kaca dan pintu keselamatan sebuah bank di Selayang Jaya, awal pagi semalam. -Foto IHSAN PEMBACA
Nor Azizah Mokhtar


WANITA berdepan detik cemas apabila terperangkap di antara pintu kaca dan pintu keselamatan automatik sebuah bank semasa masuk ke premis itu untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), di Selayang Jaya, Selayang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam semalam, mangsa dikatakan masuk ke bank menerusi pintu kaca masuk ke bank berkenaan dan pada masa sama pintu keselamatan di bahagian dalam premis itu tiba-tiba tertutup.

Wanita berusia 20-an itu cuba keluar semula menggunakan pintu kaca, namun ia tidak boleh dibuka kerana terkunci secara magnetik menyebabkan dia tersepit dalam ruang yang sempit antara kedua-dua pintu itu.

Keluarga wanita itu yang kebetulan ada bersamanya ketika kejadian dikatakan cuba menghubungi talian kecemasan yang tertera pada pintu bank berkenaan, namun tiada maklum balas selain gagal menemui pengawal keselamatan yang bertugas di situ.

Mereka akhirnya terpaksa menghubungi pihak polis dan bomba untuk bantuan.

Sepasukan 10 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang diketuai Komander Operasi, PBK II Abd Razak Mokhtar tiba di lokasi dalam tempoh 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah malam.

Bagaimanapun, proses mengeluarkan mangsa berdepan kesulitan kerana pihak bomba tidak mendapat kebenaran memecahkan cermin pintu atau mengumpilnya dan perlu menunggu pihak pengurusan bank untuk datang membukanya.

Jurucakap bomba memberitahu, setelah hampir dua jam menunggu, pasukan bomba terpaksa mengambil inisiatif sendiri mengumpil pintu kaca berkenaan bagi menyelamatkan mangsa yang mengalami sesak nafas akibat kekurangan oksigen selain kepenatan.

Proses mengeluarkan mangsa selesai kira-kira jam 2 pagi dan mangsa dihantar ke Hospital Selayang dengan ambulans.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 12:00 AM