Jakarta: Polis Indonesia berjaya menggagalkan satu rancangan serangan bom ketika sambutan hari kemerdekaan negara itu pada Isnin ini dengan tertangkapnya tiga militan, kata polis semalam.

Tiga militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Negara Islam (IS) itu merancang menyerang gereja dan balai polis di Solo ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-70 Indonesia pada Isnin ini.

Ketua polis Solo, Nur Ali berkata, semua suspek berkenaan ditahan oleh anggota skuad antipengganas polis Indonesia di bandar itu pada Rabu lalu.

Solo adalah bandar kelahiran Presiden Joko Widodo, tetapi tidak dapat dipastikan sekiranya beliau menyambut ulang tahun kemerdekaan di bandar itu.

“Hasil kerja keras polis dan bantuan orang ramai, pihak berkuasa menggagalkan cubaan serangan pengganas ini,” katanya.

Menurutnya, tiga suspek yang ditahan adalah seorang pembuat bom berusia 29 tahun dan dua lelaki yang membantu membancuh bahan letupan serta meninjau sasaran yang sesuai.

Bagaimanapun, Nur tidak mendedahkan identiti kesemua suspek.

“Semua lelaki ini mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS di Syria,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:12 AM