Bangkok: Timbalan Ketua Polis Thailand, Chakthip Chaijinda semalam dilantik sebagai ketua polis negara itu yang baru bagi menggantikan Jeneral Somyot Pumpunmuang yang bakal bersara.

Lembaga Polis Diraja Thailand sebulat suara memilih Chakthip bagi menggantikan Somyot yang bersara 30 September depan.

Mesyuarat lembaga itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Prawit Wongsuwon.

Prawit menjadi pengerusi mesyuarat itu selepas Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha tidak hadir.

Chakthip, 55, menjadi pegawai polis paling muda dilantik memegang jawatan tertinggi berkenaan.

Beliau mengenepikan empat lagi timbalan ketua polis negara yang lebih berpengalaman.

Chakthip dikatakan lebih menonjol berbanding empat lagi timbalan ketua polis negara itu kerana reputasinya di bahagian siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:11 AM