Bangkok: Thailand dan Kemboja berusaha mengendurkan ketegangan di sempadan kedua-dua negara selepas ratusan askar Thai dikerah ke pintu sempadan di Ubon Ratchathani di daerah Nam Yuen bagi menghalang Kemboja meneruskan projek pembinaan di kawasan yang menjadi rebutan.

Sumber tentera berkata, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan perbincangan Rabu depan, membabitkan wakil dari kementerian luar dan tentera kedua-dua negara.

Rundingan diadakan di Chong Arn Mam, tempat konflik itu bermula.

Thailand mengerah pintu sempadan itu ditutup selepas pihak berkuasa Kemboja membenarkan jentera berat memulakan kerja membina jalan raya di kawasan yang belum ditentukan ketuanannya.

Gabenor Ubon Ratchathani Serm Chainarong mengutus surat bantahan kepada gabenor Preah Vihear Oam Mara mengenai perkara itu, mendesak Kemboja menghentikan kerja pembinaan.

Thailand bersetuju membuka semula pintu sempadan itu selepas Menteri Pertahanan Kemboja menghubungi rakan sejawatannya di Bangkok, Prawit Wongsuwon.

Penduduk tempatan mengelak mengguna pintu sempadan itu kerana bimbang keganasan meletus.

“Ketegangan semakin kendur tetapi kami tidak akan membenarkan mereka meneruskan projek pembinaan,” kata Serm.

Media di Pnom Penh melaporkan, Kemboja tidak meningkatkan jumlah tentera di kawasan terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:04 AM