Kuala Lumpur: RHB Bank Bhd yakin mampu mencapai peningkatan dalam bahagian pasaran menerusi segmen pengurusan tunai dalam talian daripada tujuh peratus kepada 10 peratus menjelang 2017 didorong oleh produk e-runcit inovatif bank terbabit.

Ketua Perbankan RHB/Pengarah Perbankan Perniagaan dan Pemangku Ketua Kumpulan Perbankan Transaksi, Amy Ooi berkata, syarikatnya akan memberikan tumpuan lebih kepada penggunaan cek yang rendah untuk pelanggan golongan korporat serta perusahaan kecil dan sederhana kumpulannya.

“Kami merancang dan melangkah ke hadapan dalam usaha untuk menggalakkan pelanggan sedia ada serta baru bagi menggunakan e-Bayaran untuk menjalankan sebarang transaksi,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Peraduan RHB Reflex Transact & Win, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sepanjang kempen itu berlangsung, lebih 100,000 transaksi pengurusan tunai dalam talian telah dibuat selain menerima sambutan hangat serta pelbagai maklum balas yang baik daripada pelanggan.

“Selain itu, kami juga berjaya memperoleh 86 peratus daripada pengambilalihan pelanggan, 97 peratus jumlah deposit dan 92 peratus anggaran pendapatan faedah bersih,” katanya.

Pertandingan bermula pada 12 Januari 2015 hingga 31 Mei 2015 dilancarkan bagi meningkatkan penggunaan kemudahan Reflex RHB dalam kalangan pelanggan premium RHB yang baru serta sedia ada.

“Sebagai inisiatif ke arah menyediakan pelanggan akses yang lebih mudah dan ringkas kepada segmen e-Bayaran, kami akan terus mempertingkatkan dan memperbaiki keupayaan bank digital itu,” katanya.

Amy berkata, langkah itu sejajar dengan pendirian Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan e-Bayaran selain berhasrat mengurangkan penggunaan cek dalam industri tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:26 AM