SELAIN menguruskan ibu dalam pantang, Awanis turut menyediakan keperluan bayi.
SELAIN menguruskan ibu dalam pantang, Awanis turut menyediakan keperluan bayi.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Jika dulu wanita yang baru saja melahirkan anak mendapatkan bantuan ibu di kampung bagi penjagaan ketika dalam tempoh berpantang, tetapi kini pergerakan sosiobudaya serta ekonomi menyaksikan peranan ibu diambil alih bidan moden yang menjalankan perkhidmatan penjagaan bergerak dari rumah ke rumah.

Ini bukanlah kerana kurangnya kepercayaan terhadap peranan dimainkan golongan terdahulu, tetapi disebabkan ramai wanita kini berkerjaya dan tinggal berjauhan dari ibu bapa mereka. Ditambah pula faktor kekangan masa untuk pulang ke kampung serta ibu yang sudah tua dan uzur.

Menyedari hakikat ini, kerjaya sebagai ‘confinement lady’ atau bidan semakin mendapat perhatian. Malah pergerakan mereka semakin berubah dengan mengunjungi rumah ke rumah yang lain mengikut jadual yang sudah disusun. Menariknya, perkhidmatan yang diberikan kepada pe­langgan sama seperti yang dilakukan bidan kampung terdahulu tanpa mengubah atau menukarnya demi untuk mendapatkan kesan yang sama.

Menjelaskan perkara ini, Awanis Musa yang sudah menjalankan kerjaya bidan bergerak sejak 2011 mengakui wanita tanpa mengira bangsa semakin sedar kepentingan mengamalkan cara berpantang dengan betul bagi mendapatkan susuk tubuh seperti sedia kala serta kembali sihat.

Untuk itu, amalan berpantang cara tradisional Melayu menjadi pilihan disebabkan ia lengkap dan mengikut Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari (TCM) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Baik wanita Melayu, Cina mahupun India langsung tidak menolak setiap tatacara yang diperkenalkan dalam tempoh berpantang seperti amalan berurut, bertungku, tangas, param dan pilis kerana ia mendatangkan banyak faedah kepada tubuh.

“Bezanya bagi wanita Cina, mereka memilih mengamalkan pemakanan secara herba begitu juga dengan India, tetapi mereka tidak menolak rawatan tradisional yang lain,” katanya.

Dia yang mahu dikenali sebagai Bidan@ Bangi meng­akui, bidan secara mobile atau bergerak ini wujud disebabkan semakin ramai wanita inginkan perhatian dan belaian secara eksklusif selepas melahirkan anak. Bagi golongan ini, selepas melahirkan anak seharusnya tubuh dijaga rapi dan mendapatkan sentuhan sepenuhnya daripada mereka yang berkelayakan.

“Untuk itu, mereka sanggup membayar lebih atas perkhidmatan yang diberikan asalkan mendapat layanan memuaskan. Pada sisi yang lain, ketiadaan ibu membuatkan mereka inginkan seseorang yang dapat menyediakan semua keperluan seperti menyediakan makanan, memandikan bayi dan mengurut agar rasa penat dan trauma selepas melahirkan anak dapat dilupakan dengan kehadiran cahaya mata di sisi,” katanya.

Selain bergerak secara berseorangan, Awanis turut mempunyai kumpulan yang akan memberikan perkhidmatan berbeza. Misalnya dia lebih kepada amalan berpantang manakala rakannya menyediakan makanan dan penjagaan bayi. Tempoh masa juga bergantung kepada pelanggan sama ada mahu selama tiga, lima atau tujuh hari saja, atau inginkan perkhidmatan sehingga 44 hari.

Walaupun sebelum ini dia menerima undangan di mana saja sekitar Lembah Klang, kini Awanis ingin mengecilkan skop perkhidmatannya dengan memberi tumpuan kepada kawasan di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya saja manakala kawasan di luar akan diserahkan kepada pelajarnya yang berada di kawasan itu.

Kebaikan amalan berpantang tradisional

Sebagai bidan, Awanis sangat menekankan rawatan perbidanan tradisional Melayu kerana ia sangat meluas dan memberikan kesan berpanjangan kepada tubuh. Dia sering menasihatkan wanita supaya melakukan amalan berpantang seawal tiga hari selepas bersalin.

Berpantang dimulakan dengan mandi daun herba, berurut tiga hari berturut-turut, bertungku, memakai param dan pilis, berbengkung dan urutan mengeluarkan susu. Dalam rawatan berpantang, setiap jenis rawatan yang dilakukan mempunyai keperluan dan faedah tersendiri.

“Walaupun cara dan rawatannya agak renyah, jika dilakukan dengan cara betul akan memberikan keseimba­ngan, kecergasan dan kecantikan kepada ibu. Paling penting ibu perlu berdisiplin dan konsisten mengikut semua amalan yang diberikan,” katanya.

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mandi meng­gunakan air suam, pada waktu pagi dan petang agar badan sentiasa segar diikuti mandi herba menggunakan air rebusan daun yang berfungsi mengeluarkan angin, mengharumkan badan selain memberi kesegaran berpanjangan.

Jelas Awanis, setiap kelahiran menyebabkan ketahanan badan menurun terutama selepas melahirkan ramai anak. Bagi yang bersalin secara pembedahan, banyak urat putus dan memudahkan angin memasuki badan.

“Sebab itu urutan sa­ngat penting memulihkan kembali aliran darah, me­ngeluarkan angin dan bendalir kotor, melawaskan nifas, menenangkan emosi, meringankan badan dan memulihkan semula ketahanan badan. Bagi yang bersalin normal boleh dilakukan seawal tiga hari selepas bersalin manakala bagi bagi yang bersalin menerusi pembedahan boleh diurut selepas tujuh hari bergantung kepada situasi dan kesihatan ibu,” katanya.

Ramai tidak tahu penangguhan yang lama untuk diurut boleh mengundang lemah badan, mudah masuk angin, bisa-bisa serta bentan. Teknik urutan pula merangkumi tiga posisi termasuk meniarap, telentang dan duduk.

Rawatan bertungku pula dapat melancarkan perjalanan darah nifas serta meredakan rasa sakit badan. Apabila perjalanan darah lancar, wajah kembali berseri dan segar. Bagi ibu bersalin, bertungku mengurangkan sakit urat dan mempercepatkan pengecutan rahim. Param pula dapat melancarkan perjalanan darah, menghaluskan kulit dan menjadikan tubuh kembali seperti sedia kala.

Amalan pemakaian bengkung sepanjang tempoh berpantang dapat memberikan kesan menyeluruh terhadap kesan lebihan lemak pada bahagian perut, pinggang dan paha. Ia juga dapat membentuk badan kembali normal serta mengelak perut menjadi buncit.

“Walaupun bertangas bukanlah amalan yang menjadi kemestian, saya menggalakkan wanita melakukannya kerana ia dapat membuang angin seterusnya mengecutkan faraj dan rahim. Paling penting bertangas dapat menyembuhkan luka dan jahitan dengan cepat. Ia juga dapat mengeluarkan peluh busuk dan kotoran dari badan,” katanya.

Selain itu, Awanis turut menyediakan rawatan penutup pantang selepas 44 hari pada harga berpatutan serta melakukan bekam angin dan darah yang dapat menguatkan imuniti badan serta menajamkan penglihatan. Selain bergerak sebagai bidan, Awanis juga mengadakan kursus bekam dan perbidanan dengan sijil dikeluarkan pusat persijilan bertauliah. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus dan juga rawatan berpantang ini, layari Facebook Sentuhan BONDA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 1:58 PM