AMALAN selepas bersalin ini diakui penting untuk menyembuh, memulih tenaga dan kesihatan dalam tempoh tertentu.
AMALAN selepas bersalin ini diakui penting untuk menyembuh, memulih tenaga dan kesihatan dalam tempoh tertentu.
Hafiz Ithnin

SUDAH menjadi satu kemestian bagi mana-mana wanita yang melahirkan anak, berpantang perlu kerana ia antara tempoh eksklusif bagi wanita memperbaiki segala ‘kerosakan’ dalam tubuh badan selepas melalui detik sukar itu.

Berurut, memakai bengkung, bertangas, menyapu pilis, berpantang makan, memastikan kaki tidak berasa sejuk sehingga ada yang meletakkan tempoh tertentu untuk ‘bersama’ dengan suami, adalah amalan biasa dalam masyarakat kita.

Malah, ada yang meletakkan tempoh antara 44 hingga 100 hari berpantang. Perkara ini kadangkala menjadi perdebatan dalam kalangan wanita dan tidak kurang juga menimbulkan keraguan kepada wanita yang baru ingin menjadi seorang ibu.

Pakar Kesuburan dan Sakit Puan Metro IVF, Dr Pravin Peraba berkata, berpantang adalah salah satu rawatan tradisional yang menjadi tradisi bagi wanita yang melahirkan bayi.

Katanya, tujuan berpantang adalah untuk menyembuhkan dan memulihkan tenaga dan kesihatan dalam tempoh tertentu. Mengikut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), berpantang bermula satu jam selepas ibu melahirkan bayi.

“Saya berpendapat, berpantang adalah penting meskipun zaman semakin maju dan terdapat pelbagai teknologi canggih namun ia tidak mampu untuk membuatkan sel-sel badan pulih tanpa perlu melalui proses pemulihan selepas sembilan bulan mengandung dan bersalin.

“Dari aspek kesihatan ibu yang baru bersalin dan menyusu, mereka perlu minum secukupnya iaitu antara dua hingga tiga liter air sehari, bukan menyekat keperluan kesihatan mereka,” katanya.

BERURUT bukan kewajipan tetapi amalan tradisional yang membantu wanita lepas bersalin. - Gambar hiasan
BERURUT bukan kewajipan tetapi amalan tradisional yang membantu wanita lepas bersalin. - Gambar hiasan

Jelasnya, jika menyusukan badan ibu juga turut disarankan untuk memakan makanan sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dengan secukupnya.

“Pengaliran darah yang baik amat penting dan antara aktiviti yang disarankan adalah berjalan-jalan serta senaman ringan. Berurut selepas bersalin adalah pilihan kepada ibu yang baru bersalin tetapi bukan wajib,” katanya.

Ketika ditanya apakah yang boleh berlaku sekiranya seorang wanita yang baru melahirkan anak tidak berpantang, katanya, urat hijau akan timbul di kaki (varicose vein) tetapi ia bukan disebabkan angin.

“Ia sebenarnya bukan urat, tetapi saluran darah ‘vena’ yang membawa darah kembali dari kaki ke jantung. Sebetulnya, tiada angin di dalam saluran darah dan tidak ada angin dalam urat saraf. Bagaimanapun, varicose vein perlu ditangani dengan cara bersenam supaya peredaran darah di kaki menjadi lebih lancar,” katanya.

Mengenai isu 40 atau 100 hari, pakar itu berkata, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Secara tradisinya tempoh selepas bersalin sepatutnya berakhir enam minggu selepas kelahiran.

IBU baru lepas bersalin perlu mengamalkan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan. - Gambar hiasan
IBU baru lepas bersalin perlu mengamalkan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan. - Gambar hiasan

“Tempoh enam minggu sangat sesuai dengan tradisi budaya di kebanyakan negara, sering kali 40 hari pertama selepas kelahiran dianggap sebagai masa pemulihan untuk ibu dan bayi yang baru dilahirkan.

“Tempoh post-natal atau post-partum oleh wanita Melayu biasanya 44 hari walaupun tempoh yang lebih panjang 60 hari atau 100 hari diikuti sesetengah wanita. Langkah berjaga-jaga khas diikuti untuk wanita yang menjalani pembedahan berbanding mereka yang lahir normal,” katanya.

Katanya, dari sudut perubatan sekiranya darah nifas habis sebelum tempoh 44 hari dan luka juga sudah sembuh maka tiada halangan untuk bersama suami atau melakukan hubungan kelamin.

“Bagaimanapun, kadangkala kurang tidur kerana menjaga anak yang baru lahir dan hormon prolaktin jika menyusu badan turut mempunyai kesan kepada isteri kurang untuk bersama suami.

“Ada kala, jika proses kelahiran memerlukan alat bantuan yang menyebabkan koyak di bahagian perineum, wanita mungkin mengambil masa yang lebih kerana khuatir luka belum sembuh. Begitu juga jika proses kelahiran melalui pembedahan turut memerlukan masa untuk sembuh,” katanya.

Nasihatnya, sebarang isu atau kebimbangan perlulah ditangani dengan baik melalui komunikasi secara jujur agar suami dan isteri saling memahami keharmonian rumah tangga dapat dijaga.

Ditanya mengenai perspektif seperti tak boleh potong kuku, makan pedas, duduk dalam penghawa dingin, kena ikat rambut sehingga tegang, mandi pada sebelah malam, pakar itu menjelaskan ia adalah mitos termasuk amalan tradisional seperti bertungku, berbengkung, mandian herba dan memakai pilis di dahi.

“Bagaimanapun perkara itu terpulang kepada individu kerana amalan tradisi ini sinonim dengan masyarakat kita tetapi amat penting untuk minum air secukupnya dan melakukan sedikit senaman regangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 7:00 AM