AFP

Barcelona: Gol ketiga sumbangan Lionel Messi (gambar) melalui sepakan percuma dalam tiga perlawanan membantu Barcelona mengesahkan slot suku akhir Piala Raja Sepanyol selepas penyandang juara itu menumpaskan Athletic Bilbao 3-1 sekali gus mara dengan agregat 4-3, awal pagi semalam.

Gol ke-100 Luis Suarez untuk Barca dan sepakan penalti Neymar memadamkan kelebihan Bilbao yang mencatat kemenangan 2-1 pada aksi pertama tetapi jaringan Enric Saborits menerusi tandukan enam minit selepas rehat mengheret aksi hingga ke masa tambahan.

Bagaimanapun, sama seperti aksi pertama dan ketika seri 1-1 menentang Villarreal Ahad lalu, Messi hadir sebagai penyelamat Barca melalui sepakan percuma menumpaskan penjaga gol, Gorka Iraizoz.

“Ada sebabnya kenapa Messi adalah pemain terbaik di dunia. Dia akan mengejutkan anda dengan sesuatu yang menarik dalam setiap perlawanan,” kata Suarez.

Barca berada dalam keadaan tertekan untuk mencari kemenangan pertama tahun ini selepas mereka seri menentang Villarreal, seterusnya ketinggalan lima mata di belakang Real Madrid yang menghuni tangga teratas liga.

“Amat penting untuk meningkatkan keyakinan kami. Kami mahukan dan memerlukan keputusan seperti ini. Kami sentiasa tenang, bekerja keras dan tahu keputusan cemerlang akan hadir,” kata Suarez.

Sebelum perlawanan bermula masih lagi ada yang membincangkan mengenai keputusan kontroversi pengadil pada perlawanan pertama apabila Bilbao terpaksa beraksi dengan sembilan pemain, manakala Barca dinafikan sepakan penalti.

Perlawanan kali ini juga tidak terlepas dengan kontroversi apabila pada minit ke-26 Neymar dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid ketika melakukan hantaran kepada Suarez yang menampan bola masuk menerjah gawang.

Bagaimanapun, kombinasi sama kali ini tidak dinafikan pengadil 10 minit sebelum rehat apabila hantaran lintang Neymar disambar Suarez untuk jaringan sulung Barca.

“Perkara paling penting sumbangan ini membantu pasukan mara ke pusingan seterusnya, itu yang kami mahukan,” ujar Suarez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:10 AM