HAFSAH  (kiri) melihat produk Butik Bidai  bersama Pengarah Urusannya Rafidah Baharin pada perasmian butik itu yang menjual dan memasang bidai seluruh Malaysia secara online di Bandar Baru Bangi.
HAFSAH (kiri) melihat produk Butik Bidai bersama Pengarah Urusannya Rafidah Baharin pada perasmian butik itu yang menjual dan memasang bidai seluruh Malaysia secara online di Bandar Baru Bangi.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Bangi: SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperuntukkan RM10 juta bagi membantu usahawan belia berumur antara 18 dan 40 tahun untuk menceburi bidang perniagaan menerusi program Tunas Usahawan Belia Bumiputera 2.0 (TUBE 2.0).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata, pihaknya menerima sebanyak 7,442 permohonan untuk menyertai program berkenaan sepanjang tempoh permohonan dibuka daripada 1 hingga 31 Julai lalu.

“Namun begitu, hanya 500 penyertaan sahaja akan dipilih bersandarkan kepada beberapa faktor khususnya umur dan minat terhadap dunia jual beli.

“Pelaksanaan TUBE 1.0 yang membuahkan hasil memberi keyakinan untuk SME menganjurkan kembali program yang sama buat kali kedua apabila seramai 442 daripada peserta berjaya membina empayar perniagaan masing-masing,” katanya selepas majils perasmian Butik Bidai, di sini.

Butik Bidai adalah sebuah syarikat yang menghasil dan mengeluarkan pelbagai jenis pilihan bidai di mana pengarahnya adalah salah seorang perintis daripada TUBE 1.0.

TUBE 2.0 yang dijangka bermula pada November 2015 itu akan berada di 10 kem berbeza di seluruh negara berbanding lima kem pada tahun lalu.

Menurutnya, antara Januari hingga Mei lalu, seramai 442 peserta berjaya mencatatkan hasil jualan bernilai RM6 juta bagi tempoh empat bulan pertama.

“Selain mampu menjana lebih 991 peluang pekerjaan, purata pendapatan bulanan setiap daripada mereka adalah sebanyak RM13,000,” katanya.

Beliau berkata, program bertujuan memberi anjakan paradigma kepada golongan belia daripada menjadi pekerja kepada pemilik perniagaan dan membentuk daya tahan dalam mengendalikan perniagaan itu akan berlangsung selama tiga minggu.

“Ia meliputi beberapa tahap seperti fasa ketahanan jati diri dan bengkel usahawan. Kemudian, mereka akan memasuki fasa pelaksanaan perniagaan di mana setiap peserta akan diberi geran bernilai RM15,000 bagi menjalankan perniagaan selain bimbingan selama 12 bulan daripada kaunselor perniagaan serta kewangan yang disediakan SME Corp,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:20 AM