RIZAL Nainy pada majlis program penyerahan geran peniagaan belia bumiputera TUBE@PEMERKASA. FOTO Rohanis Shukri
RIZAL Nainy pada majlis program penyerahan geran peniagaan belia bumiputera TUBE@PEMERKASA. FOTO Rohanis Shukri
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasarkan lebih 10 peratus peningkatan nilai jualan terkumpul pada penghujung tahun ini menerusi usahawan yang dilatih dalam program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube).

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, sejak program Tube diperkenalkan 2014, sebanyak RM43.23 juta geran perniagaan disalurkan kepada peserta yang berjaya dengan nilai terkumpul jualan sebanyak RM140.6 juta dijana, setakat Jun lalu.

"Seramai 6,633 usahawan berjaya dilahirkan daripada 6,782 belia yang dilatih menceburi bidang perniagaan di bawah Tube sejak 2014.

"Tahun ini, kita akan melahirkan 400 lagi usahawan baharu dalam kalangan belia Bumiputera yang berpotensi menerima geran antara RM10,000 ke RM15,000.

"Dengan faktor pembukaan ekonomi dan sempadan negara dalam fasa peralihan endemik ini, insya-Allah kita harap usahawan kita dapat meningkatkan pendapatan antara lima hingga 10 peratus dan membolehkan kita mencapai nilai jualan terkumpul kepada RM150 juta pada penghujung tahun ini," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Tube@Pemerkasa di sini, hari ini.

Hadir merasmikan program itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya.

Turut hadir, Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Sementara itu, Rizal berkata, pihaknya akan memberi tumpuan lebih kepada program sektor agromakanan dalam mengukuhkan lagi sekuriti makanan dan rantaian bekalan makanan di Malaysia.

"Objektif program Tube ini memperkasakan lagi keusahawanan belia Bumiputera dalam memupuk jati diri menghadapi cabaran perniagaan terutama krisis seperti Covid-19 selain memberi peluang mereka mengasah bakat dan minat dalam perniagaan.

"Program Tube banyak dalam sektor perkhidmatan iaitu industri makanan dan minuman (F&B), namun kami ingin tumpukan kepada sektor agromakanan dalam mengukuhkan lagi sekuriti makanan rantaian bekalan makanan.

"Pada masa sama, kita juga mengharapkan sektor pembuatan dalam bidang tertentu juga digalakkan," katanya.

Katanya, pihaknya turut menerima peruntukan bernilai RM10 juta bagi melahirkan usahawan baharu dalam program Tube@Pemerkasa, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 2:26 PM