Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Seramai 6,268 peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) di seluruh negara berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM135.7 juta sejak program itu dilaksanakan enam tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sehingga kini, daripada 6,268 ini, seramai 5,643 daripada usahawan belia berjaya diwujudkan di seluruh negara berdasarkan perniagaan yang diusahakan.

Katanya, kementeriannya melalui agensi, SME Corp Malaysia (SME Corp) sentiasa memantau prestasi serta kemajuan alumni peserta Tube ini.

"Sejak program ini dilancarkan pada 2014 sehingga Julai 2021, sejumlah RM135.7 juta nilai jualan terkumpul berjaya dihasilkan daripada perniagaan yang dijalankan oleh usahawan belia daripada program Tube.

"Sebanyak 90 peratus punca pendapatan adalah melalui perniagaan dan mampu meningkatkan sosioekonomi belia Bumiputera di samping dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

"Ini jelas terbukti di mana program ini berjaya mewujudkan sebanyak 10,757 peluang pekerjaan, termasuk untuk peserta program itu sendiri," katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran Tube 8.0 dan majlis memeterai persefahaman (MoU) Program Tube@IPT dengan SME Corp di sini, hari ini.

TAN Seri Noh Omar (tiga dari kiri) menyampaikan mockup cheque Geran Perniagaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE@PENJANA) Nor Fatin Suhana Mohd Tajuddin. FOTO Amirudin Sahib
TAN Seri Noh Omar (tiga dari kiri) menyampaikan mockup cheque Geran Perniagaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE@PENJANA) Nor Fatin Suhana Mohd Tajuddin. FOTO Amirudin Sahib

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussein Al-Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy.

Noh berkata, pihaknya komited dalam agenda negara melahirkan usahawan graduan dan mewujudkan bangsa usahawan dalam kalangan graduan.

"Sebagai bukti komitmen saya dalam hal ini, inisiatif untuk menjadikan graduan sebagai usahawan sudah saya letakkan sebagai salah satu penanda aras prestasi (KPI) di bawah kementerian ini.

"Sasaran saya adalah untuk menjadikan 160 graduan universiti sebagai usahawan. Justeru, saya melihat Program Tube@IPT sebagai satu inisiatif yang amat relevan serta bertepatan dalam mencapai aspirasi ini," katanya.

Program Tube@IPT ini membabitkan kerjasama lapan universiti awam tempatan iaitu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Sementara itu, Dr Noraini berkata, peserta program ini akan diberikan latihan kemahiran keusahawanan mencakupi bidang pengurusan, kewangan, pemasaran digital serta penyediaan BissCounselor yang memberikan khidmat nasihat pakar berkaitan perniagaan.

"Peserta seterusnya akan dibimbing dan dipantau selama tempoh 12 bulan dan dana sebanyak RM15,000 disediakan kepada setiap peserta untuk mereka memulakan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 9:38 PM